SHAH ALAM - Pas Selangor hari ini mempertikaikan hasrat 
DAP yang mahu bertanding di lapan kerusi DUN yang 
disandang oleh parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Pemimpin Pas Selangor memutuskan untuk 
mempertahankan kesemua lapan kerusi tersebut pada
 PRU akan datang kerana melihat tindakan DAP itu lebih
 kepada usaha bersama sekutunya iaitu Parti Amanah 
Negara (Amanah), yang merupakan parti serpihan Pas.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul 
Samad berkata, Pas sedia maklum bahawa DAP mahu 
merebut kerusi parti itu, namun pihaknya berpendirian
 untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

"Sebelum ini kita telah dengar ada ura-ura mereka 
akan masuk kawasan Pas...kita akan terus bertanding 
di situ dan akan pertahankan kerusi kita," katanya
 kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri di sini.

Sementara itu, Setiausaha Pas Selangor, Mohd 
Khairuddin Othman berkata Pas negeri tidak akan
 berundur dan memberi laluan kepada DAP dalam 
pilihan raya umum itu.

"Apa rasionalnya DAP nak bertanding di kerusi 
yang dalamnya 70 peratus pengundi Melayu? Ini
 bukti suara DAP adalah suara parti Amanah kerana
 kedua-dua parti ini berminat untuk bertanding di kerusi
 yang dimenangi Pas," katanya yang juga Adun Paya 
Jaras.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dilaporkan 
sebagai berkata parti itu mungkin akan bertanding 
di lapan kerusi Pas dalam pilihan raya umum akan 
datang dan sudah bersedia ke arah itu.

Kerusi-kerusi itu ialah Taman Templer, Lembah Jaya
, Sri Serdang, Meru, Cempaka, Dusun Tua, Tanjung 
Sepat dan Paya Jaras.

Bagaimanapun, Pua berkata keputusan itu akan 
diputuskan setelah perbincangan dibuat bersama
 Pakatan Harapan Selangor yang melibatkan DAP, 
PKR dan Amanah.  - Bernama