ROMPIN – “Apa muslihat Husam sebenarnya?” Demikian soal Ketua 
Penerangan Pas Pahang, Nazri Ahmad terhadap pendedahan bekas 
Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang kononnya Presiden Pas,
 Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengaku pernah merancang untuk 
bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan
 di Selangor.

Menurutnya, isu di Selangor itu telah pun selesai dan tidak perlu

 dibangkitkan lagi kerana sewaktu ia sedang hangat diperkatakan,
 Presiden Pas sendiri telah memberikan penjelasan berkaitannya
 bagi menjernihkan segala kekeruhan yang timbul.

“Saya memang hairan dengan tindakan Husam yang membuat 

pendedahan sedemikian sedangkan isu melibatkan kerajaan Pakatan
 Rakyat di Selangor itu telah pun selesai dan tidak perlu dibangkitkan lagi.

“Berdasarkan penjelasan Tok Guru Presiden pula, beliau bukan tawar 

untuk bentuk kerajaan dengan cara bergabung dengan Umno sebaliknya
 ia disebut secara umum iaitu tawaran kepada sesiapa yang mahu
 bersama dengan Pas pada ketika itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian Online 6 November lalu melaporkan bekas Naib Presiden

 Pas, Datuk Husam Musa sekali lagi ‘menyerang’ partinya apabila 
mendakwa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengaku pernah
 merancang untuk bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan
 perpaduan di Selangor.

Pendedahan itu dibuat melalui sedutan video rakaman ceramah di Pasar 

Kedai Mulong, Kota Bharu yang dikongsi di Facebooknya yang seterusnya 
menjadi viral dan mendapat pelbagai komen dan kritikan daripada netizen.

Dalam pada itu, Nazri yang juga merupakan Yang Dipertua Pas Kawasan

 Rompin itu turut mempersoalkan tindakan Husam yang seolah-olah 
bertujuan menimbulkan keraguan di kalangan ahli dan kepimpinan Pas 
pasca muktamar kepada presiden parti.

Beliau turut menyarankan kepada Husam supaya memberikan fokus 

untuk bekerjasama dengan kepimpinan kerajaan Kelantan masa ini 
dalam membangunkan negeri termasuk menyelesaikan beberapa 
projek yang telah bermula sewaktu beliau memegang jawatan Exco negeri.

“Jika ada apa-apa berkaitan parti dan kalau ia benar, maka gunakanlah

 saluran dalaman parti yang ada untuk melakukan teguran kepada pihak
 berkenaan. Tidak perlu saya mengajar cara menggunakan saluran itu 
kerana Husam merupakan orang lama,” katanya.