SHAH ALAM – Selepas disoal siasat pihak polis dua hari lalu mengikut

 Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana jenayah fitnah berhubung kenyataan
 terbuka yang mengkritik Datuk Seri Najib Tun Razak semasa perhimpunan
 Bersih 4, Tun Dr Mahathir Mohamad bagaikan ‘tidak serik’ dengan gangguan 
tersebut.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Polis tanya, saya tak jawab']

Malah kali ini beliau terus menyerang Perdana Menteri itu kerana menafikan
 bahawa negara berada di ambang krisis kewangan sedangkan nilai ringgit 
semakin menyusut kepada RM4.30 berbanding dolar Amerika Syarikat yang 
boleh menjejaskan ekonomi negara.

“Ini adalah satu penurunan nilai yang besar, lambat laun akan menjejaskan
 perniagaan import atau pinjaman dalam Amerika dolar. Pasaran saham pula
 turun dengan kehilangan besar dalam permodalan pasaran. Sekali lagi ini
 tidak baik untuk ekonomi.

“Pertumbuhan ekonomi ketinggalan di belakang Indonesia dan Filipina. Ini 
tidak normal. Kita biasanya meninggalkan mereka jauh di belakang,” katanya
 dalam entri terbaru di blognya chedet.cc, pada Jumaat.

Beliau mengulas kenyataan Najib pada Rabu yang mengatakan Malaysia tidak
 akan mengalami krisis kewangan meskipun nilai mata wang negara terus jatuh.

Dalam pada itu, Dr Mahathir juga mempersoalkan jaminan Najib itu apabila
 timbul keperluan untuk menangkap pihak yang mensabotaj sistem perbankan
 dan kewangan negara.

“Jika mereka mensabotaj sudah pasti perbankan dan kewangan Malaysia tidak
 akan baik. Ia akan menjadi disfungsi. Tetapi adakah benar semuanya baik. Ini
 tidak mungkin! Bank-bank dan sistem kewangan mungkin baik, tetapi terdapat
 juga petunjuk-petunjuk lain yang menunjukkan bahawa ekonomi tidak baik,”
 ujarnya.

Bekas Perdana Menteri turut mengulangi kritikannya bahawa skandal 1Malaysia
 Development Berhad (1MDB), derma RM2.6 bilion dalam akaun bank Najib dan
 penggunaan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan
 Wang Amanah Pencen antara punca utama hilangnya keyakinan pelbagai pihak
 terhadap kerajaan.

“Jadi semua tidak boleh dikatakan baik. Siapakah yang bertanggungjawab? Tidak
 mungkin satu entiti yang tidak wujud!

“Mesti ada orang-orang yang menguruskan ekonomi, menguruskan negara, orang
 yang mempunyai kuasa dan pengaruh yang mana kata-kata dan perbuatan
 mereka boleh menjejas ekonomi,” tegasnya.

Dr Mahathir turut menyindir pemimpin Malaysia yang masih boleh bertahan dan 
mengekalkan jawatan sedangkan dasar dan usaha pemulihan negara masih 
gagal dilakukan.

“Di kebanyakan negara, pemimpin meletakkan jawatan apabila mereka gagal;
 apabila dasar-dasar mereka gagal, apabila usaha pemulihan gagal.

“Mereka juga meletakkan jawatan apabila beberapa malapetaka melanda 
negara seperti Australia dan Romania. Sudah tentu mereka meletakkan
 jawatan apabila berprestasi teruk dalam pilihan raya,” katanya lagi
.