GEORGETOWN - Adun tunggal Pas, Datuk Salleh Man Mat Aji menyerahkan nasibnya
 kepada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan selepas pengumuman Pas pusat berhubung 
status parti Islam itu di negeri ini.

Salleh Man berkata, dia menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menilainya 
berikutan sebelum ini menyatakan sokongannya terhadap Kerajaan Negeri
 Pakatan Harapan.

“Kenyataan Pas pusat tidak sebut Adun (Pas), mereka hanya sebut parti sahaja.
 Adun lain, parti lain. Saya tidak boleh buat satu penjelasan, ia bergantung kepada 
Speaker di sini. Saya wakil rakyat ahli kerajaan, sebab itu saya kata saya sokong
 Kerajaan Pakatan Harapan.

“Kenyataan Pas pusat itu merujuk kepada parti bukan kepada saya sebagai Adun
. Persoalannya sekarang, bagaimana pula dengan Selangor kerana di sana juga 
mempunyai masalah yang sama seperti Pulau Pinang?,” katanya ketika ditemui 
media di luar dewan persidangan semalam.

Sambil mengakui bercelaru dengan konflik ini, Salleh Man meminta supaya semua
 pihak berdoa yang terbaik untuknya.

“Saya tidak boleh komen lanjut sebab belum dimaklumkan oleh Pas pusat, malah 
belum meneliti kenyataan yang dikeluarkan Pas pusat. Saya masih wakil rakyat 
di Permatang Pasir dan akan terus berkhidmat untuk rakyat di sana.

“Apa yang penting, saya di sini menang atas semangat Pakatan Rakyat (yang 
terdahulu), kemudian berubah menjadi Kerajaan Pulau Pinang Pakatan Harapan. 
Apa juga nama, saya tetap ahli kerajaan. Kita draf bersama manifesto sebab itu
 kita menang pun bersama,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengumumkan 
Pas kini sebagai pembangkang di Pulau Pinang selepas Kerajaan Pulau Pinang
 memecat 300 ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK) 
dalam kalangan ahli parti itu di Parlimen Kepala Batas
.