KUCHING  - Pas akan meletakkan calon di 11 kerusi pada Pilihan Raya 
Negeri (PRN) Sarawak dan bersedia menentang mana-mana calon termasuk 
daripada DAP, kata pengarah Pilihan Raya Pas Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata sembilan daripada kerusi itu merupakan kawasan lama
 Dun Sarawak, manakala baki dua lagi kerusi merupakan kawasan 
baharu Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Persekutuan
 dan Negeri bagi Sarawak yang menyaksikan pertambahan 11 kerusi
 Dun di negeri ini.

Katanya keputusan Pas untuk bertanding di 11 kerusi tersebut juga
 telah dibincangkan bersama PKR kerana Pas masih mempunyai 
hubungan dengan parti itu dan tiada perbincangan diadakan dengan 
DAP.

"Setakat perbincangan dengan PKR, kita tidak mahu ada pertandingan
 kerusi dengan mereka (PKR), tetapi yang lain boleh bertindih...tiada 
masalah sebab kita tidak ada hubungan dengan mereka.

"Kita akan bertanding di 11 Dun, Pas akan meletakkan calon daripada
 pelbagai latar belakang termasuk profesional, agamawan dan juga 
usahawan. Pada PRN Sarawak, Pas juga akan meletakkan seorang 
calon bukan Islam di kerusi Dun yang baharu diluluskan," katanya 
dalam sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Mustafa bersama beberapa pimpinan Pas pusat dan negeri
 menghadiri mesyuarat Pilihan Raya Pusatberkenaan PRN Sarawak 
di sini.

Turut hadir Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, 
Pesuruhjaya Pas Sarawak Jofri Jaraiee dan Setiausaha Pas 
Sarawak Mukhtar Suhaili.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata Pas Sarawak akan menghantar senarai
 calon PRN negeri kepada Majlis Syura Pas untuk pertimbangan 
pertengahan Februari nanti.

"Majlis Syura akan semak calon ini, kelayakan mereka untuk bertanding
, sebelum meluluskan penempatan mereka. Perbincangan mengenai 
calon-calon ini akan turut diadakan menerusi perbincangan dengan Pas
 Sarawak," katanya.

Sementara itu, Mustafa berkata pengumuman oleh Ketua Menteri 
Sarawak Tan Sri Adenan Satem semalam bahawa PRN negeri akan 
diadakan pada April amat di alu-alukan.

Katanya, Pas menjangkakan PRN Sarawak akan diadakan pada Mac 
tetapi dengan berita yang diumumkan oleh Adenan itu memberi indikasi
 terbaharu persediaan pilihan raya Pas. -Bernam
a