Tindakan menahan dua wartawan Australia wajar
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan tindakan
menahan dua warga Australia yang merempuh kawalan keselamatan dan
bertindak agresif untuk mendekati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak di Kuching pada Sabtu lalu sebagai tindakan yang wajar.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata,
penahanan kedua-dua wartawan itu perlu bagi menjaga dan memastikan
keselamatan pemimpin selain ketenteraman awam tidak terganggu.
"Dalam dunia sekarang yang terdedah dengan ancaman Daesh, keselamatan
pemimpin menjadi keutamaan, maka kawalan keselamatan terhadap pemimpin
sesebuah negara diperketatkan," katanya kepada pemberita selepas majlis
serah terima tugas jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan)
Bukit Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh, dilantik sebagai Ketua Polis
Kuala Lumpur yang baharu menggantikan Datuk Tajuddin Md Isa yang
dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial
Bukit Aman.
Dalam kejadian pada jam 8.35 malam itu, polis menahan dua rakyat
Australia di Masjid Darul Ehsan, Kampung Haji Baki, Kuching kerana cuba
mendekati Najib secara agresif ketika perdana menteri menghadiri majlis
bersama rakyat.
Mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan bagi
siasatan lanjut sebelum dibebaskan pada Ahad (semalam) dengan jaminan
polis setelah keterangan mereka direkodkan.
Kedua-dua rakyat Australia yang masing-masing berusia 51 dan 39 tahun
itu mendakwa bertugas sebagai wartawan dengan Australian Broadcasting
Corporation berpangkalan di Sydney.
Ketika ditanya sama ada kedua-dua warga Australia itu mempunyai kaitan
dengan kumpulan Daesh, Noor Rashid berkata: "Tak mungkin."
"Kalau kita tengok profil kedua-dua warga Australia itu, mereka
merupakan 'investigative journalist', cuma tindakan mereka itu agak
keterlaluan, maka kita perlu tahan dan soal siasat mereka," katanya. -
Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment