Tahan wartawan Australia, calar imej negara
KUALA LUMPUR – Penahanan wartawan dan jurukamera dari saluran berita
Australia ABC oleh polis di Kuching, Sarawak pada Ahad telah mencalarkan
imej Malaysia kerana kebebasan media semakin terhakis di negara ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, penahanan dua petugas
media antarabangsa itu kerana mahu bertanya tentang skandal 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) membuktikan ada sesuatu cuba diselindungi
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada pengetahuan umum.
“Kami menggesa kerajaan Malaysia supaya mengkaji semula tindakan ini
untuk membuktikan tiada apa yang perlu ditakuti atau sesuatu
diselindungi. Tiada penjelasan mengenainya, kerana wartawan Australia
ini bukan ancaman Perdana Menteri, melainkan mereka ini mempunyai hubung
kait dengan IS.
“Walaupun pihak berkuasa mendakwa mereka cuba menghalang Perdana
Menteri, namun tiada keperluan untuk menahan mereka sehingga enam jam,”
katanya pada sidang media di lobi bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Beliau mengulas insiden dua petugas media dari Australia Broadcasting
Corporation (ABC) yang ditahan selepas merempuh kawalan keselamatan
kerana cuba menemubual Perdana Menteri di Masjid Darul Ehsan, Kampung
Haji Baki, Padawan, Kuching, Sarawak pada semalam.
Bagaimanapun kedua-dua individu terbabit dibebaskan pagi Isnin lalu
dengan jaminan polis dan perlu berada di negeri itu, sementara siasatan
dilakukan.
Mengulas lanjut isu pelantikan gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang
baharu, Guan Eng pula berkata menggesa kerajaan melantik pengganti Tan
Sri Zeti Akhtar Aziz dengan seorang calon yang tidak mempunyai hubungan
dan hubung kait dengan skandal 1MDB.
“Mana-mana lantikan itu, kalau ia bersangkutan dengan 1MDB, ia tidak
boleh memulihkan keyakinan bukan sahaja dalam kalangan rakyat bahkan
pelabur asing.
“Kami menggesa kerajaan, jika kamu mahu melantik gabenor baharu,
pastikan dia mempunyai rekod bersih daripada 1MDB, tiada hubung kait,
tiada hubungan dan pembabitan dalam skandal 1MDB atau dilihat sebagai
boneka kepada kerajaan,” katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment