Mesyuarat bincang isu cuaca panas dalam masa terdekat
KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan mengadakan
mesyuarat tergempar dalam masa terdekat bagi membincangkan
langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani isu cuaca panas dan
kering yang melanda negara kini.
Menterinya Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata mesyuarat bersama
kementerian dan agensi-agensi berkenaan itu perlu dilaksanakan segera
bagi membolehkan intipati perbincangan dibawa ke mesyuarat Kabinet,
Jumaat ini.
"Saya telah memberi arahan kepada ketua setiausaha kementerian saya
untuk mengadakan mesyuarat tergempar dengan kementerian termasuk
Kementerian Pendidikan, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air,
Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Kementerian Kesihatan dan
agensi seperti Jabatan Meteorologi dan Jabatan Alam Sekitar," katanya
kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau berkata mesyuarat itu juga dijangka turut membincangkan
keperluan melakukan pembenihan awan serta keperluan penutupan sekolah
sekiranya keadaan cuaca semakin teruk.
Dalam pada itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri
Ahmad Shabery Cheek berkata kementerian telah merangka pelan kecemasan
bagi memastikan hasil tanaman tidak terjejas dalam keadaan cuaca panas
akibat fenomena El Nino.
Katanya antara langkah awal yang telah diambil adalah menyediakan
pam-pam bagi menyalur air ke kawasan tanaman yang strategik di seluruh
negara.
"Cuaca panas memberi kesan kepada tanaman tertentu. (Walaupun) belum
lagi di peringkat bahaya tetapi kita boleh jangkakan misalnya akibat
jerebu dahulu (tahun lepas) beri kesan terhadap tuaian padi kita,"
katanya.
Dalam isu berbeza, Ahmad Shabery berkata kerajaan memerlukan satu
program besar melibatkan penggunaan tanah seluas 400,000 hektar bagi
menanam makanan binatang ternakan untuk mengurangkan kebergantungan
kepada hasil import.
"Saya bimbang dari segi jurang import eksport semakin besar. Pada tahun
ini defisit meningkat kepada RM18 bilion dan sebahagian besar kerana
terpaksa mengimport makanan ternakan," katanya.
Katanya usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri supaya perancangan menyeluruh dapat dilaksanakan.
"Misalnya kita dah mulakan projek tanaman jagung bijirin untuk ternakan
ayam tetapi perlu diuji beberapa kali sama ada ia memberi respons yang
baik kepada ayam yang diternak," katanya. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment