KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengeluarkan surat kompaun pentadbiran kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kerana gagal mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Ini termasuk mengkehendaki 1MDB menghantar balik wang yang dikirim ke luar negara berikutan pembatalan tiga kelulusan yang diberikah oleh BNM kepada 1MDB masing-masing pada 2009, 2010 dan 2011, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bank pusat itu berkata 1MDB juga gagal mengemukakan bukti dan dokumen yang ditetapkan oleh BNM untuknya memberikan alasan yang kukuh berhubung ketidaupayaan untuk mematuhi sepenuhnya arahan penghantaran balik itu.

1MDB diberikan sehingga 30 Mei untuk membayar kompaun tersebut.

Pembayaran kompaun itu menandakan tamatnya siasatan BNM berhubung ketidakpatuhan 1MDB terhadap peraturan dan pengawalan BNM. - Bernama