PASIR PUTEH - Rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana kos menunaikan ibadat haji bagi jemaah negara ini terendah berbanding negara-negara Asean lain.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kos setiap jemaah negara ini yang mengerjakan haji kali pertama hanya RM9,980, jauh lebih rendah berbanding negara jiran antara RM5,512 hingga RM54,000.

Katanya, kos rendah itu kerana Tabung Haji mengeluarkan subsidi sebanyak RM8,910 atau hampir separuh daripada kos sebenar.

"Tanpa subsidi itu, setiap jemaah haji terpaksa menanggung kos sebanyak RMRM18.890, inilah kelebihan kita sebagai jemaah haji Malaysia.

"Jemaah haji di sesetengah negara bukan sahaja mengeluarkan perbelanjaan tinggi untuk mengerjakan ibadat itu malah dibebankan dengan kos lain seperti makan dan perubatan yang mana ia dinikmati secara percuma jemaah kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutup Kursus Asas Haji 1437H Peringkat Jajahan Pasir Puteh di Masjid Ibrahimi di sini, semalam.  

Dr Asyraf Wajdi berkata, bakal haji Malaysia juga diberi jaminan mereka akan tinggal di hotel-hotel berdekatan dengan Masjidil Haram di Mekah tahun ini.

"Mereka menginap tidak lebih satu kilometer jaraknya daripada Masjidil Haram kerana kita mahu mereka mengerjakan ibadat haji dengan lebih selesa," katanya.