KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan penubuhan tribunal bebas bagi mendengar kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menulis dalam blognya semalam, beliau mahu tribunal itu melibatkan hakim bebas daripada luar negara, bukan diadili oleh peguam negara.

“Peguam negara boleh mempertahankan kerajaan atau pegawainya tetapi dia tidak boleh menjadi hakim. Biar tribunal yang melakukan penghakiman,” katanya.

Mahathir berkata, sudah tiba masanya membenarkan mahkamah untuk mendengar pertuduhan terhadap mereka yang gagal mengurus 1MDB dengan baik.

“Menyalahkan ketua pegawai eksekutif 1MDB sahaja tidak mencukupi. Selain daripadanya, perlu disiasat seperti mana dijanjikan ketua polis negara. Ketua polis negara juga perlu menjelaskan ketiadaan tindakan ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengkritik penggunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi melindungi laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB yang berstatus sulit seperti disiarkan Sarawak Report.

“OSA tidak boleh digunakan bagi melindungi bukti perbuatan jenayah. Ia adalah untuk melindungi hal-hal pentadbiran yang sah, seperti draf untuk perjanjian baru atau kontrak atau kertas Kabinet.

“Menyembunyikan perbuatan jenayah di belakang OSA adalah salah dan menyalahi undang-undang,” ujar beliau.