KOTA BHARU – Pas tidak menolak kemungkinan lebih ramai pemimpin Umno keluar parti dalam tempoh terdekat.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pemimpin-pemimpin parti itu tidak mempunyai kekuatan untuk menjadi pembangkang kerana sudah terbiasa dengan pangkat dan kedudukan sebagai pemerintah dalam kerajaan.

“Mereka ini biasa senang, menjadi kerajaan dan sebagainya, tiada pengalaman menjadi pembangkang. Jadi pembangkang ini susah, perit.

“Kita Pas sendiri pun memang penatlah, tapi sebab dah biasa, kita boleh bertahan. Tapi mereka tidak biasa, maka tidak boleh bertahan. Nak tunggu lima tahun lagi, kita tidak tahu apa yang akan terjadi,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu, di sini.