Ramai rayu kembali ke pangkuan Umno
PUTRAJAYA - Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor berkata, ramai pemimpin dan anggota Umno yang keluar parti
termasuk mereka yang dipecat, merayu untuk kembali ke pangkuan parti
itu.
Sambil menyifatkan senarai mereka yang merayu menyertai semula Umno
panjang, beliau berkata ‘macam-macam dilakukan’ mereka yang keluar parti
termasuk mendakwa tindakan diambil Umno adalah tidak adil dan tidak
mengikut prosedur.
"Ini membuktikan bahawa apa yang (bekas Menteri Besar Kedah) Datuk Seri
Mukhriz Tun Mahathir kata, adalah tidak benar. Beliau mendakwa ramai
yang meninggalkan Umno tetapi ramai yang dipecat mahu kembali (menyertai
semula Umno)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas tindakan Pengerusi Tetap Umno Gelang Patah,
Datuk Baharom Abdul Ghani dan Timbalan Ketua Umno bahagian Kulai Datuk
Tosrin Jarvanti yang meninggalkan parti itu pada Sabtu.
Terdahulu, Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menghadiri
Program Ibadah Korban Sempena Aidiladha peringkat Parlimen Putrajaya di
Presint 9 di sini.
Sempena Aidiladha hari ini, Tengku Adnan menyumbangkan 120 ekor lembu
untuk dikorbankan dan diserahkan kepada Masjid Tuanku Mizan Zainal
Abidin, Perbadanan Putrajaya (PPj), Kementerian Wilayah Persekutuan,
surau dan masjid selain diagihkan kepada cawangan Umno di Parlimen
Putrajaya.
Ditanya kemungkinan lebih ramai yang mungkin mengikut tindakan Baharom
dan Tosrin, Tengku Adnan berkata ‘tidak ada masalah bagi mereka mahu
keluar parti’ kerana ia tidak menjejaskan Umno.
Menurutnya tindakan keluar daripada parti merupakan jalan terbaik bagi
anggota Umno yang menimbulkan kontroversi dan mengelak mereka daripada
terus menjadi ‘duri dalam daging’ parti.
"Mungkin ada pihak cuba tarik anggota Umno tetapi saya yakin
anggota-anggota terus bersatu bersama Umno... anggota-anggota Umno sedar
bahawa ia sebuah parti berstruktur, ada hala tuju dan bermatlamat bagi
memastikan Malaysia terus aman dan sejahtera," katanya.
Mengenai penggantungan bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno Mohd Rafiq
Naizamohideen, Tengku Adnan berkata, tindakan itu diambil selepas
siasatan menyeluruh dilakukan dan terdapat bahan bukti kukuh seperti cakera padat video (VCD) serta rakaman.
"Oleh itu, jika tidak berpuas hati (dengan parti), janganlah
suarakannya kepada umum dan mencalar imej parti. Sebab itulah, kami
mengambil tindakan terhadapnya. Sepatutnya, suarakan sebarang
ketidakpuasan hati dalam parti," kata beliau.
Mohd Rafiq digantung sebagai anggota Umno selama enam tahun atau dua
penggal manakala jawatannya sebagai exco Pemuda Umno turut digugurkan.
Beliau dikatakan cuba mensabotaj Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.
Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan turut menafikan
dakwaan bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah
bahawa beliau 'dihentam' dalam mesyuarat Kabinet.
“Saya pun tidak tahu bila masa kita hentam dia (Ahmad Husni)... saya
pun berada dalam (mesyuarat) kabinet, saya tahulah. Kita bincang
(sesuatu perkara) demi kebaikan negara. Apabila perdana menteri dan
timbalan perdana menteri mempengerusikan mesyuarat, kita boleh suarakan
apa yang kita yang kita nak suarakan,” katanya.
Sementara itu, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN menyaran
anggota UMNO dan parti-parti komponen BN sentiasa mengutamakan
perjuangan parti berbanding kepentingan diri.
Sambil memberi contoh dirinya yang pernah digugurkan daripada kabinet, katanya beliau tidak pernah bertindak menentang parti.
"Saya tidak marah. Pada saya, perjuangan parti lagi penting...kalau
kita letak kepentingan parti dahulu, ia tidak jadi masalah,” katanya. -
Bernama
2 orang berkata:
Hampa percaya ka cakap mamat ni.
Hampa percaya ka cakap mamat ni.
Post a Comment