Selepas keluar
dari kolej perguruan hatinya meronta-ronta mahu terus mengajar. Ke mana
sahaja dihantar bukan halangan. Lagi pun itu telah menjadi perjanjiannya
bahawa ke mana sahaja, waima ke pulau terpencil di Mabul, Sabah sekali
pun dia sanggup tempuhi.
Oleh itu, Idayu sanggup meninggalkan
kampung halaman di Terengganu dan dihantar mengajar di Sarawak.
Pengkhususan beliau ialah subjek Fizik, Matematik dan Sains.
Guru muda itu gembira mengajar di situ. Semangatnya sentiasa berkobar-kobar mendidik anak bangsa.
Namun sebagai seorang insan, Cikgu Idayu
pun mempunyai keinginan untuk berumah tangga. Jodohnya ditemukan dengan
jejaka yang kebetulan berasal dari negerinya di Terengganu.
Setelah berkahwin Cikgu Idayu dipindahkan dari Sarawak ke Semenanjung, iaitu Johor.
Dia ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Syed Esa, Batu Pahat, Johor.
Suaminya pula bertugas sebagai Warder Penjara di Dungun. Sehingga kini mereka telah berkahwin selama lapan tahun.
Bagi pasangan itu, seorang tinggal di
Dungun dan seorang tinggal di Batu Pahat bukan halangan untuk berkhidmat
sebaik-baik mungkin kepada negara tercinta ini.
Sepanjang lapan tahun mereka tidak
pernah tinggal sebumbung. Sama ada suami akan ke Batu Pahat atau
sebaliknya si isteri akan ke Dungun. Walaupun kejauhan, tanggungjawab
zahir dan batin diteruskan sama seperti pasangan suami isteri yang lain.
Namun, setelah beberapa tahun
berulang-alik mereka merasakan ia bukanlah satu penyelesaian yang baik.
Sebagai penjawat awam, Cikgu Idayu mempunyai hak memohon pertukaran
untuk mengikuti suami.
Sudah tujuh tahun, sejak 2008 tanpa
serik dia membuat permohonan melalui Jabatan Pelajaran Negeri dan di
peringkat kementerian, namun semuanya gagal.
Setiap tahun, kementerian membuka
permohonan sebanyak dua kali. Dan, sepanjang tempoh itu dia telah
membuat permohonan berbelas-belas kali.
Cikgu Idayu reda dengan ketentuan Ilahi. Mungkin tiada rezeki lagi, fikirnya. Di sepanjang proses permohonan itu, dia ada juga mendapatkan surat sokongan pelbagai pihak, juga gagal.
Pertengahan tahun ini apabila rayuan
pertukaran dibuka, dia antara cikgu yang paling awal berkobar-kobar dan
ghairah mengisi borang. Kakitangan jabatan pun sudah kenal dengan
beliau.
Sambil jari jemarinya mengisi borang
itu, mulut Cikgu Idayu tidak putus-putus memohon doa agar mudah-mudahan
permohonannya diperkenankan dan dapat disatukan dengan suami tercinta.
Beberapa hari lalu keputusan diumumkan. Buat kesekian kalinya, selama tujuh tahun, permohonannya ditolak sekali lagi.
Permohonannya untuk bersatu di bawah satu bumbung dengan suaminya buat pertama kalinya, juga gagal.
Cikgu Idayu terus pasrah. Fikirannya
cukup tertekan. Cita-cita masa kecilnya untuk menjadi guru kini sudah
menjadi satu mimpi ngeri. Cikgu Idayu kini difahamkan, sedang menerima
rawatan akibat tekanan.
Lebih tertekan, setelah tujuh tahun
berkahwin, dia masih belum mendapat cahaya mata. “Kerana itu saya mahu
duduk berdekatan dengan suami saya…” Sebagai penulis, saya tidak pasti di mana silapnya dalam kes Cikgu Idayu ini.
Terus terang saya katakan, saya tidak
mengenali cikgu itu. Saya hanya menerima suratnya – mengadu kepada saya,
setelah segala usahanya selama ini gagal. Mengadu kepada saya adalah
jalan terakhir beliau.
Tulis beliau kepada saya: “Keluarga kami
sejak zaman nenek moyang 100 peratus menyokong, berjuang untuk UMNO.
Saya minta tolong dengan menteri-menteri UMNO, takda satu tandatangan
mereka yang laku… jalan akhir, nampaknya saya perlu berhenti kerja
walaupun itu cita-cita saya sejak kecil mahu menjadi cikgu untuk bantu
anak bangsa.”
Kisah Cikgu Idayu, saya anggap adalah satu daripada banyak lagi kes yang serupa.
Bagi saya dalam puluhan ribuan guru di
seluruh negara, dan mobilisasi guru-guru baru setiap tahun, apakah
sebenarnya masalah Cikgu Idayu ini? Terus terang saya katakan saya tidak
faham dengan sistem proses pertukaran itu.
“Mereka memberi alasan pengkhususan saya sudah penuh di Terengganu,” katanya.
Jika satu, dua tahun mungkin kita boleh
terima dia gagal, tetapi apabila ia sudah masuk tahun ketujuh, maka di
mana pula silapnya? Di mana pertimbangan kemanusiaan pula?
Apakah semua pihak mahu melihat Cikgu Idayu, seorang guru Fizik dan Matematik ini melepaskan jawatannya?
Wahai Pengarah-pengarah Pendidikan
Negeri-Negeri, Ketua Pengarah Pendidikan, Ketua Setiausaha Kementerian
dan menteri-menteri serta timbalan-timbalannya, tolonglah teliti kes
ini.
Saya berharap janganlah dihukum Cikgu
Idayu gara-gara tulisan ini. Ambillah iktibar positif daripada tulisan
ini untuk memperbaiki mana-mana sistem yang lemah.
Saya difahamkan Kementerian Pendidikan
memang sedar mengenai sindrom suami-isteri berpisah ini. Harap-harap kes
Cikgu Idayu ini boleh diselesaikan.
Jika ini pun susah hendak diselesaikan, apakah kita sudah bersedia untuk menjadi sebuah negara maju? -suarainsan