Anggota Umno dipelawa sertai Pas: Tuan Ibrahim
(Ubah saiz teks)
ALOR SETAR - Pas mempelawa anggota Umno agar menyertai parti itu untuk
membentuk gabungan yang kuat selepas parti berteraskan bangsa Melayu itu
tewas besar pada PRU14 lalu.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu
sentiasa membuka pintu kepada anggota Umno untuk berbuat demikian kerana
pada masa sama tidak mungkin parti itu akan membentuk kerjasama dengan
Umno.
“Saya sudah lama ajak mereka (Umno) masuk Pas. Bila mereka sudah hilang
kuasa pada PRU lalu, saya rasa sudah tiba masanya untuk mereka sertai
Pas, bukan Pas yang akan sertai Umno.
“Apa yang berlaku pada PRU lepas adalah kerana rakyat tolak BN, jadi
atas sebab itu kita buka pintu kepada BN dan Umno untuk sertai Pas,”
katanya ketika ditemui selepas Majlis Himpunan Kesyukuran Pasca PRU14 di
Kompleks Pas Kedah di sini, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anggota
Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa Umno dan
Pas perlu bergabung dan membentuk kerjasama yang dapat memberikan
cabaran kepada Pakatan Harapan dan dalam masa sama menjaga kepentingan
Melayu.
Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim menyatakan kesediaan Pas
sekiranya dijemput untuk berada dalam jawatankuasa yang akan ditubuhkan
kerajaan bagi melihat dan mengkaji semula peranan Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim).
“Saya minta kerajaan kekalkan peranan Jakim selain mempertingkatkan
jabatan itu. Jakim mendapat pengiktirafan dunia apabila cop halalnya
diiktiraf seluruh dunia selain jabatan tersebut bertanggungjawab untuk
menyelaras isu-isu agama Islam dan sistem perundangan negara,” katanya.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai tawaran Pas kepada Pakatan
Harapan untuk mewujudkan kerajaan gabungan di Kedah, beliau berkata,
perkara itu disuarakan bagi mengelak berlakunya Pilihan Raya Negeri
(PRN) berikutan isu pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun).
“Itu jalan keluar yang ada tetapi kalau mereka tidak terima kita sedia
untuk hadapi PRN. Tetapi rakyat baru sahaja selesai mengundi jadi kalau
boleh kita ingin elak PRN daripada berlaku, namun kita lihat sahaja
keputusannya nanti,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir
berkata, timbul sedikit kesulitan berhubung pelantikan jawatan Speaker
di DUN Kedah berikutan Pakatan Harapan yang membentuk kerajaan negeri
memperoleh 18 kerusi Dun pada PRU14, menyamai jumlah 18 kerusi yang
dimiliki Pas dan BN iaitu masing-masing 15 dan tiga kerusi. - Bernama