Abdul Aziz beri Rafizi masa seminggu
 
Untuk PRK Kuala Besut, SPR menggunakan teknik mencelup jari ke dalam dakwat kekal bagi memastikan ia tahan lebih lama. - Foto Sinar Harian oleh KHIRU SHALEH ABDULLAH
 
BESUT – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mencabar ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli untuk mengulangi semula dakwaan yang dilemparkan kepada beliau serta timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengenai hubungan rapat dengan pembekal dakwat kekal di luar Dewan Rakyat.

Abdul Aziz menegaskan beliau memberi masa seminggu bermula hari ini untuk Rafizi mengulangi semula kenyataan dibuatnya itu.

Menurutnya, sekiranya Rafizi seorang wakil rakyat yang benar-benar bertanggungjawab maka dia perlu menyahut cabarannya itu.

Katanya, tindakan Rafizi membuat tuduhan tersebut kepadanya adalah disifatkan sebagai tidak adil kerana beliau tidak dapat menjawabnya di dalam Parlimen.

Beliau difahamkan sebelum ini, Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan Rafizi untuk membuat kenyataan berhubung dakwaannya itu di luar Dewan Rakyat.

“Adalah menyedihkan nama kami disebut dan kami tidak dapat jawab di dalam Dewan Rakyat.

“Rafizi dah sebut di luar Dewan Rakyat tetapi tidak menyebut nama saya dan Wan Ahmad malah jawatan juga tidak disebut tetapi hanya mengatakan kepimpinan SPR. Ini satu perbezaan besar,” katanya pada sidang media di Pusat Penjumlahan Undi Di Dewan Majlis Daerah Besut di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, tuduhan dilemparkan Rafizi itu adalah sangat serius kerana melibatkan imejnya, reputasi SPR serta keluarganya.

Rafizi sebelum ini membangkitkan isu tersebut di dalam Parlimen sebelum mengulangi dakwaan tersebut di lobi Dewan Rakyat setelah diminta untuk berbuat demikian oleh Speaker.

Bagaimanapun nama kedua-dua pemimpin tertinggi SPR itu tidak disebut.

Rafizi mendakwa kontrak membekal dakwat kekal berkenaan diberi kepada seorang ahli perniagaan dari Singapura.

Abdul Aziz dan Wan Ahmad menafikan tuduhan dibuat itu sebelum ini namun masih belum mengambil sebarang tindakan lanjut terhadap Rafizi.

Abdul Aziz berkata, beliau meminta Rafizi untuk mengulangi dakwaan tersebut dengan menyebut nama serta jawatannya.

“Saya berharap dalam tempoh seminggu mulai hari ini kalau dia (Rafizi) bertanggungjawab dan anak jantan ulang tuduhan itu di luar Dewan dengan menyebut nama kami dan setelah itu nanti kami berdua akan berbincang dengan peguam kami untuk ambil tindakan selanjutnya,” katanya.