Harapan warga Kuala Besut kepada YB baru
Foto Sinar Harian Oleh MAT YU
 
BESUT - Selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keputusan, ternyata pengundi kerusi Dun Kuala Besut masih mahukan BN sebagai pentadbir dengan memilih Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Keputusan itu sudah semestinya memberi harapan baru kepada warga Kuala Besut yang mengharapkan agar khidmat bakti dapat dicurahkan dengan baik kepada penduduk di situ.

Rizal Awang, 41 seorang pengundi di kawasan Tok Saboh mengharapkan Tengku Zaihan menjadi kesinambungan Adun sebelum ini.

"Jadi apabila saya mendapat tahu Tengku Zaihan telah mendapat majoriti yang tinggi, saya rasa cukup bangga kerana ini bermaksud jentera di akar umbi buat kerja.

"Harapan saya semoga YB baru ini, menyambung apa yang telah dilakukan oleh Arwah (Dr Abd Rahman Mokhtar) yang telah meninggalkan kita baru-baru ini, supaya Kuala Besut terus membangun dan setanding dengan negeri-negeri lain yang telah maju di Malaysia ini," katanya kepada Sinar Harian Online.

Dalam pada itu, Ismail Yusof, 31 turut berkongsi harapan agar bakal Adun yang baru dipilih dapat melaksanakan tugas dengan baik seperti Arwah Abd Rahman.

"Saya berharap dia dapat menjalankan tugas dengan baik, berdedikasi dan cemerlang.

"Kami juga berharap pemuda di sini dapat bekerjasama dengannya lebih erat seperti sebuah keluarga," katanya.

Harapan yang menggunung warga Kuala Besut kepada Tengku Zaihan turut dikongsi dengan Che Ismail Abd Manaf, 59 yang juga penyokong setia BN.

"Perasaan saya amat gembira, tak tahu nak cakap macam mana lagi.

"Kita harapkan dia berjaya dan dapat tolong semua rakyat khususnya penduduk di Kuala Besut.

"Pakcik ikhlas... Demi parti, pakcik semangat mempejuangkannnya," katanya yang dilihat mempamerkan reaksi penuh semangat.