Hampir 90 terbunuh di Syria dalam masa 48 jam
03/09/2013 3:57pm
BEIRUT - Hampir 90 penentang pemerintah Syria terbunuh dalam pertempuran yang semakin menular sejak 48 jam lalu berdekatan ibu negara Syria, kata seorang pemerhati semalam.
Menurut Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, sekurang-kurangnya 29 penentang berstatus bukan rakyat Syria terbunuh dalam satu serangan hendap yang dilakukan oleh pihak tentera semalam di Adra, Damsyik.
Kumpulan yang bergantung pada maklumat jaringan aktivis, doktor dan peguam itu berkata, beberapa orang pegawai pertahanan juga antara yang turut terkorban dan tercedera.
Sementara itu, agensi berita tempatan, SANA memberitahu, sepasukan tentera telah membunuh hampir kesemua kumpulan Islam Al-Nusra, yang mempunyai banyak rekrut warga asing.
Adra yang merupakan sebuah bandar perindustrian sejauh 35 kilometer dari Damsyik bertindak sebagai pintu masuk utama ke Timur Ghouta, kawasan pertanian yang sering dijadikan lokasi pertempuran pihak penentang dan tentera rejim.
Pada 21 Ogos lalu, kawasan Timur Ghouta dilaporkan menjadi sasaran serangan senjata kimia yang membunuh ramai penduduk termasuk kanak-kanak. Perkara itu telah menyebabkan kemarahan penduduk dunia sehingga mencetuskan kemungkinan campur tangan kuasa tentera asing.
Pemerhati itu berkata lagi, seramai 46 penentang terbunuh pada Ahad lalu dalam serangan udara yang dicetuskan oleh rejim tentera di sekitar bandar Rouhayba dan juga timur laut ibu negara Syria.
Tambahnya, seramai 11 penentang mati pada Ahad lalu berdekatan Damsyik.
Di tempat lain, sekurang-kurangnya lapan orang, termasuk lima kanak-kanak, terbunuh apabila tentera rejim mengebom bandar Tal Aran di wilayah utara Aleppo. Lebih daripada 110,000 orang telah terbunuh sejak konflik Syria meletus pada Mac 2011, termasuk sekurang-kurangnya 40,146 orang awam. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_10.htm#ixzz2dojW2ROv
0 orang berkata:
Post a Comment