Liwat II: Mahkamah sedang siapkan penghakiman
KUALA LUMPUR - Mahkamah Persekutuan sedang menyiapkan penghakiman
berhubung rayuan terakhir Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk
mengetepikan hukuman penjara lima tahun atas sabitan meliwat bekas
pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lepas.
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria ketika dihubungi Bernama hari ini
berkata beliau tidak dapat memberikan tarikh tepat kerana panel hakim
masih menyiapkan penghakiman mereka.
"Saya tidak boleh memberitahu tarikh sebenar sehingga kami
(hakim-hakim) melengkapkan penghakiman. Kami masih membaca penghujahan,
biarlah kami membaca terlebih dahulu sebelum menulis penghakiman.
Berilah kami ruang untuk menyediakannya," katanya ketika ditanya
mengenai tarikh pengumuman keputusan kes rayuan Anwar oleh Mahkamah
Persekutuan.
Arifin, yang mempengerusikan panel lima hakim dalam kes rayuan itu
berkata, seseorang hakim diberi tempoh yang munasabah untuk
menyelesaikan penghakiman kerana setiap kes adalah berbeza.
Empat lagi hakim ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif
dan tiaga Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan
Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
Arifin menjelaskan, amalan standard bagi Mahkamah Rayuan dan Mahkamah
Persekutuan untuk menyiapkan penghakiman mereka ialah dalam tempoh tiga
bulan selepas kes itu didengar.
"Tetapi dalam kes-kes tertentu, mahkamah (Mahkamah Rayuan dan Mahkamah
Persekutuan) akan mengambil masa lebih lama, mungkin sehingga enam bulan
untuk menyiapkan penghakiman. Ia bergantung kepada kerumitan kes itu,"
katanya.
Pada 7 November, Mahkamah Persekutuan menangguhkan penghakiman
berhubung rayuan kes itu selepas mendengar hujahan peguam Anwar, Datuk
Seri Gopal Sri Ram, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang mengetuai
pasukan 15 peguam termasuk tiga anak mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh Deo, Sangeet Kaur Deo dan Gobind
Singh Deo serta peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang
mengetuai pasukan pendakwaan.
Pendengaran rayuan itu yang pada awalnya ditetapkan dua hari mulai 28
Oktober telah berlarutan selama lapan hari berikutan pihak pembelaan dan
pendakwaan menyampaikan hujahan panjang lebar dan mengemukakan banyak
rujukan kes undang-undang dalam rayuan itu.
Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi di negara ini,
akan membuat keputusan sama ada membenarkan atau menolak rayuan Anwar
bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah
Rayuan pada 7 Mac lepas, selepas ia membatalkan keputusan Mahkamah
Tinggi untuk membebaskannya.
Sekiranya Anwar gagal dalam rayuannya, beliau akan hilang kelayakan
sebagai anggota Parlimen (MP) kawasan Permatang Pauh berikutan Perkara
48 (1) (e) Perlembagaan Kerajaan Persekutuan menetapkan seseorang MP
lucut kelayakan sekiranya dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau
denda lebih RM2,000.
Pihak pendakwaan juga telah memfailkan rayuan balas untuk menambah tempoh hukuman penjara.
Bagaimanapun rayuan itu hanya akan akan hanya didengar jika Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah meliwat Mohd Saiful, 27,
di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit
Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan
hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi membebas dan melepaskan Anwar
daripada pertuduhan meliwat Mohd Saiful dengan alasan mahkamah tidak
pasti 100 peratus tentang integriti sampel yang diambil untuk ujian DNA
daripada individu yang didakwa menjadi mangsa.
Mahkamah memutuskan bahawa sampel berkenaan mungkin telah diusik sebelum sampai ke Jabatan Kimia untuk analisis.
Bagaimanapun, ketika mensabitkan Anwar dengan kesalahan meliwat itu,
Mahkamah Rayuan berpendapat hakim perbicaraan terkhilaf dalam dapatannya
tentang sampel berkenaan, yang didasarkan kepada keterangan dua saksi
pakar yang dipanggil pihak pembelaan.
Ini kes liwat kedua melibatkan Anwar. Dalam kes pertama, beliau
didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya Azizan Abu Bakar di Tivoli
Villa di sini pada 1994, dan dihukum sembilan tahun penjara oleh
Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2000.
Mahkamah Tinggi memerintahkan Anwar menjalani hukuman itu selepas
beliau selesai menjalani hukuman penjara enam tahun kerana kesalahan
rasuah.
Beliau didapati bersalah terhadap empat tuduhan rasuah pada 4 April 1999.
Bagaimanapun, setelah merengkok selama hampir enam tahun di penjara
kerana rasuah, beliau dibebaskan pada 2 Sept 2004 apabila Mahkamah
Persekutuan, yang diketuai Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad, yang kemudian
menjadi Ketua Hakim Negara, mengubah sabitan kesalahan dan mengetepikan
hukuman penjara terhadap Anwar bagi tuduhan meliwat Azizan dalam
keputusan majoriti 2-1.
Abdul Hamid dan Hakim Tengku Baharudin Shah Tengku Mahmud membuat
keputusan yang memihak kepada Anwar, manakala keputusan Hakim Datin
Paduka Rahman Hussein pula adalah sebaliknya.
Bagaimanapun, Abdul Hamid, yang menulis penghakiman majoriti itu,
berkata para hakim berkenaan mendapati Anwar dan tertuduh bersama, Sukma
Darmawan Sasmitaat Madja, "terlibat dengan kegiatan homoseksual" dan
oleh itu para hakim terdorong untuk mempercayai bahawa perbuatan liwat
yang didakwa itu memang berlaku. - Bernama
2 orang berkata:
Liwat 1- 3 kali tukar tarikh.
Liwat 2 - 3 hari tak berak @ cuci jubor.
Ini fakta bukan auta.... apa mau fikir lg.
Liwat 3- lubang jubur besar dan berak sampai 20x sehari.
Post a Comment