Monday, December 1, 2014
Senarai gaji MB, exco, speaker, timbalan speaker DUN Selangor
Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan cadangan mengurangkan gaji empat jawatan tertinggi dalam kerajaan negeri.
Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mencadangkan pengurangan gaji speaker, timbalan speaker, menteri besar dan exco berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.
Menurut Azmin, Jumlah keseluruhan yang dapat dikurangkan ialah sebanyak RM1.29 juta setahun.
- Untuk gaji Speaker - gaji asal RM22,500 ditolak 33.33 peratus menjadi RM15,000,
- Untuk gaji Timbalan Speaker - gaji asal RM15,750 dikurang kepada RM10,000 (ditolak 36.51%),
- Menteri besar - gaji asal RM29,250 dikurang kepada RM25,000 (dipotong 14.53%); dan
- Untuk Exco - gaji asal RM20,250 kepada RM15,000 (dipotong 25.93%).
Usul tersebut dikemukakan oleh Azmin dan disokong oleh ahli Exco, Datuk Teng Chang Kim.
Tiga ADUN - Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan), Lau Weng San (DAP-Kampung
Tunku) dan Saari Sungib (PAS-Hulu Klang) - membahaskan cadangan
pengurangan gaji itu.
Ng dan Lau mencadangkan supaya jumlah gaji dikekalkan. Lau turut
mencadangkan supaya gaji speaker dinaikkan supaya lebih tinggi daripada
gaji exco.
Menjawab cadangan itu, Azmin berkata, jumlah pengurangan itu adalah
munasabah dengan tugas yang digalas oleh anggota exco dan speaker.
Saari pula berkata, sekiranya jumlah gaji empat jawatan tertinggi dalam
kerajaan negeri itu dikurangkan, beliau mencadangkan supaya gaji kesemua
ADUN turut dikurangkan bagi menunjukkan solidariti.
"Kalau betul nak turunkan gaji, turunkan gaji ADUN juga. Saya nak
tegaskan, ini solidariti. Secara simboliknya kita sama-sama bekerja demi
rakyat.
"Kerana sekiranya nak jadikan ADUN sebagai kerjaya, ini bukan tempatnya.
Kita semua profesional. Kalau sebab nak jadi wakil rakyat untuk dapat
habuan, saya rasa ini tak sama dengan konteks perjuangan yang kita
amalkan," katanya.
Menjawab cadangan itu, Azmin berkata, soal penurunan gaji bukan merupakan perkara peribadi.
Katanya, perkara itu telah dibincangkan dalam Majlis Presiden Pakatan
Rakyat supaya kenaikan gaji dan elaun pada 2013 disemak semula.
"Ini keputusan yang dibuat Majlis Presiden Pakatan Rakyat supaya
kenaikan gaji dan elaun pada 2013 diteliti dan disemak semula, sesuai
dengan keadaan ekonomi dan kos yang begitu membebankan rakyat," katanya.
Kenaikan gaji dan elaun pada 2013 diusulkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
dan mendapat kritikan rakyat kerana elaun beberapa jawatan seperti
speaker naik sehingga 300 peratus.
Azmin yang ketika itu menjadi ketua whip DUN antara paling lantang meminta kajian semula dilakukan.
Bagaimanapun kesemua ADUN lain yang turut mendapat kenaikan elaun tidak
diusik kerana kenaikan itu dirasakan berpatutan oleh Exco.
0 orang berkata:
Post a Comment