Mufti Wilayah Persekutuan disaran tidak campuri urusan
SHAH ALAM - Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad
Al-Bakri tidak sewajarnya mencampuri urusan politik berhubung pindaan
Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta Mahkamah Syariah (bidang
kuasa jenayah) pindaan 2016 yang dibawakan Presiden Pas, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat.
Ahli Lembaga Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tan Sri Abdul
Aziz Abd Rahman berkata, pindaan RUU 355 ini adalah merupakan satu isu
politik tajaan Pas dan beliau sebagai Mufti Wilayah Persekutuan tidak
sepatutnya terjerat sama dalam perkara ini.
"Beliau sepatutnya bersama-sama dengan mufti lain mengsyorkan agar isu
undang-undang Syariah ini dirujuk kembali kepada Majlis Raja-raja kerana
hal-ehwal Islam adalah dibawah bidang kuasa Majlis Raja-raja bukan
dibawah bidang kuasa Parlimen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Mufti: MP Islam wajib sokong pindaan RUU 355]
Sebelum ini, Dr Zulkifli memaklumkan bahawa ahli Parlimen beragama
Islam wajib menyokong pindaan RUU 355 yang dibawakan oleh Abdul Hadi di
Dewan Rakyat.
Abdul Aziz berkata, apabila Zulkifli menggunakan istilah 'wajib', maka
kenyataan tersebut sudah menyamai sebagai satu fatwa berikutan kapasiti
beliau sebagai mufti.
"Malah kenyataan Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
yang dipetik oleh Sinar Harian pada 10 Jun lalu mengenai isu yang sama
adalah lebih berhemah apabila beliau hanya menggunakan perkataan
‘saranan’," katanya.
Oleh sebab itu, MPM menyeru agar Mufti Wilayah Persekutuan menarik
balik kenyataannya tersebut, atau pun menjauhkan diri daripada menyentuh
isu-isu berkaitan politik.
Tambah beliau, mufti Wilayah Persekutuan seharusnya tidak terjerat
dalam kancah politik, sebaliknya menumpukan peranan sebagai Mufti dan
Penasihat Hal-ehwal Agama Islam kepada Yang di-Pertuan Agong.
0 orang berkata:
Post a Comment