Kuat sangatkah Bersatu?
SUDAH lebih seminggu Muhyiddin Yassin hantar borang
mohon untuk mendaftar partinya, Bersatu. Setakat ini, belum ada apa-apa
perkembangan mengenai perkara itu diumumkan.
Pendaftar Pertubuhan atau ROS adalah agensi di bawah bidang kuasa
Kementerian Dalam Negeri. Menterinya, Ahmad Zahid Hamidi adalah juga
Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden Umno.
Dalam urusan pendaftaran parti politik, kita tidak seperti Britain di
mana urusan itu tidak diletak di bawah bidang kuasa ROS atau mana-mana
kementerian. Yang terima pendaftaran, mengendalikan dan memantau
pentadbiran parti-parti politik di negara itu adalah Suruhanjaya Pilihan
Raya United Kingdom. Sistem ini menjamin pentadbiran yang lebih telus
dan meyakinkan rakyat.
Meskipun belum diluluskan, cakap-cakap mengenai Bersatu sudah heboh di
sana sini. Ucapan pemimpin BN seperti tidak sah jika tidak menyerang
parti itu. Media juga membangkitkan pelbagai isu termasuk logo Bersatu
yang dikatakan mirip logo sebuah klinik kosmetik. Oleh kerana logonya
yang demikian, parti itu diramalkan tidak mampu bertahan lama, akan
‘bungkus’ dan tidak mendapat sokongan.
Termasuk yang menyerang parti itu adalah mereka yang mengambil
kesempatan untuk ‘menyucikan diri’ dengan membuat kenyataan menghentam
parti yang belum pun lahir itu kerana dalam keadaan sekarang, peluang
untuk kenyataan mereka disiarkan adalah cerah.
Inilah masanya untuk
menagih perhatian oleh mereka yang dahulu pernah berlindung di bawah
ketiak pemimpin yang kini adalah pemimpin Bersatu.
Kuat sangatkah parti baharu itu hingga sekalian orang yang berkuasa
ketakutan? Atau, mereka telah dipengaruhi oleh nujum-nujum politik yang
berkeliaran untuk mendapatkan imbuhan?
Hakikatnya, tidak!
Apa yang mereka takutkan itu sebenarnya tidaklah sekuat mana. Tidak percaya?
Jika diluluskan, Bersatu akan masuk bertanding PRU14 sebagai satu daripada parti pembangkang yang menentang BN.
Kenyataan ini sahaja sudah cukup untuk dijadikan gambaran mengenai PRU14, jika pilihan raya itu diadakan sekarang.
Ada kemungkinan Bersatu akan menyertai koalisi Pakatan Harapan. Sama
ada diterima atau tidak, itu cerita lain tetapi melihat pada senario
semasa, Pas hampir pasti tidak akan bergabung dengan mereka.
Itulah yang akan menjadi variable politik tanah air pra dan pasca PRU14.
Apabila Pas tidak bersama dengan Pakatan Harapan, akan berlaku
pertembungan calon pembangkang terutama di kawasan majoriti Melayu.
Perpecahan undi dengan sendirinya akan melemahkan pembangkang sekali gus
menyempitkan peluang mereka untuk menang sebagaimana yang
diperlihatkan pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar 18 Jun lalu.
Jika pada masa itu, pertembungan hanya melibatkan Pas dengan Amanah, bagaimana pula pada PRU14?
Ada kemungkinan episod yang sama akan berulang malah melibatkan parti-parti lain juga.
Sanggupkah PKR menyerahkan kerusi mereka kepada Bersatu?
Adakah Amanah juga sedia untuk beralah sedangkan ini kali pertama parti itu bertanding pilihan raya umum atas tiket sendiri?
Isu kerusi adalah perkara paling sensitif dalam koalisi parti-parti
politik. Inilah masanya untuk pemimpin parti memberi ‘reward’ kepada
pamimpin atau ahli di peringkat akar umbi bertanding sebagai calon
pilihan raya atas perjuangan dan khidmat yang telah mereka berikan.
Kerana itu, mengalah atau menyerahkan peluang bertanding kepada parti
lain walau bagaimana eratnya hubungan dalam koalisi, adalah tindakan
yang akan menghancurkan pengaruh seseorang pemimpin.
Bersatu sebagai parti yang diketuai oleh bekas Timbalan Perdana
Menteri, dan pengerusinya pula adalah bekas Perdana Menteri tidak
mungkin akan bersetuju untuk bertanding hanya di kerusi ‘perca’ dengan
bilangan yang sekadar ada.
Muhyiddin sudah tentu mengharapkan untuk partinya dominan dalam
pakatan pembangkang bagi menyiapkan diri mengetuai kerajaan jika
ditakdirkan menang.
Untuk jadi dominan, harus bertanding paling banyak kerusi dan mesti
menang paling banyak kerusi juga. Maka bilangan kerusi yang ditandingi
termasuk memilih hanya yang berpotensi , harus dicatur secara strategik.
Untuk itu, perlu ada pihak yang sanggup berkorban dan sebagaimana yang
telah dinyatakan, itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.
Hingga selesai PRU14, dijangka tidak ada persempadanan semula oleh SPR
untuk membolehkan kawasan pilihan raya yang baharu diwujudkan. Justeru,
dengan saiz kek yang tidak berubah sedangkan orang yang mahu makan
bertambah, ia menghadapkan parti-parti pembangkang pada masalah yang
tidak mudah untuk ditangani sebenarnya.
Kemunculan Bersatu boleh dikira kena dengan masa, ketika rakyat
berkeluh kesah dengan pelbagai isu yang melingkari segenap aspek
kehidupan mereka.
Dengan Vow Factor yang ada, ia setidak-tidaknya menjanjikan sedikit
harapan untuk parti itu mendapat ruang pada pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun isu-isu persepakatan dalam kalangan parti pembangkang
termasuk Pas jika tidak diselesaikan segera, boleh menjejaskan peluang
yang sudah sedia terhidang.
Halangan terbesar dalam hubungan Pas dengan pakatan pembangkang ialah
konfliknya dengan Amanah dan DAP. Pas tidak mungkin akan setuju jika
diminta untuk berdamai dengan kedua-dua parti itu. Di sinilah Muhyiddin
perlu bijak memainkan peranan, setidak-tidaknya membawa mereka ke meja
rundingan bagi memastikan tidak berlaku pertembungan sesama calon
pembangkang.
Hanya Muhyiddin satu-satunya pemimpin yang ‘paling boleh’ menjalankan
usaha itu. Pemimpin PKR sudah tidak boleh lagi diharapkan setelah mereka
gagal melakukannya ketika PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Malah isu yang membelit hubungan Pas - PKR sejak itu, sebaliknya kian melebar.
Tempoh masa yang berbaki hanya dua tahun sebelum PRU14 memerlukan usaha
ke arah itu dilakukan segera. Namun ia tidak mungkin boleh dilakukan
oleh Muhyiddin selagi partinya sendiri belum diluluskan!
Pas juga pada masa ini masih begitu ‘jauh’ dengan Mahathir, pemimpin de
facto Bersatu. Selain kenyataan Mahathir menuduh pemimpin Pas makan
‘dedak’ diberikan PM Najib, keadaan diburukkan lagi dengan apa yang
disebut oleh Musa Hitam bahawa dia selama ini dijadikan ‘kambing hitam’
dalam isu berkaitan Peristiwa Memali.
Sama ada benar atau tidak dakwaan Musa, itu cerita lain tetapi
kenyataannya memburukkan lagi persepsi pemimpin dan ahli Pas terhadap
Mahathir.
Muhyiddin sendiri, meskipun pernah menduduki kerusi Timbalan Perdana ,
pernah jadi Menteri Besar Johor, bukanlah seorang ahli politik yang
berupaya untuk menarik kerumunan orang seperti Mahathir dan Anwar
Ibrahim.
Walaupun tidak dinafikan dia ada kelebihannya tersendiri terutama
ketika berada dalam kerajaan, keperluan untuk menghidupkan parti yang
masih baharu menuntut lebih daripada itu.
Muhyiddin adalah model pemimpin dari era terdahulu, yang berjuang atas
dasar ikhlas dan bertanggungjawab, berupaya untuk membuat keputusan
secara bebas dan tidak terikat dengan elemen yang berada di luar
lingkaran itu.
Bagaimanapun dalam dunia politik hari ini, karisma yang ada pada
Muhyiddin masih tidak mencukupi. Itulah juga sebabnya mengapa dia tidak
begitu dipertahankan apabila dikenakan hukuman, malah dipecat daripada
Umno dan kerajaan.
Muhyiddin, seperti juga Mukhriz Mahathir adalah contoh pemimpin yang
baik. Mereka juga boleh dikira popular dalam kalangan akar umbi tetapi
populariti mereka tidak menjangkau jauh dalam lingkaran politik.
Apa yang dikhuatiri jika kedua-dua pemimpin ini masih terbawa-bawa
dengan gaya elitis politik setelah begitu lama berada dalam parti
kerajaan. Untuk memperjuangkan sebuah parti baharu, mereka seharusnya
sedia untuk turun padang bergelumang dengan penyokong bawahan seperti
yang dilakukan Anwar.
Gaya pembangkang sangat jauh bezanya dengan memimpin parti kerajaan.
Dalam keadaan ini, aura Mahathir semata-mata sudah tidak boleh
diharapkan. Dalam usia yang begitu lanjut dan baru sahaja keluar dari
hospital, keupayaannya untuk berpolitik sudah begitu terhad.
Paling perlu bagi pemimpin Bersatu adalah menjuarai usaha mendekatkan
semula Pas dengan parti-parti pembangkang yang lain, perlu ada hanya
satu koalisi yang benar-benar ampuh untuk menumbangkan BN.
Jika tidak, BN akan terus berkuasa selepas PRU14, bukan kerana parti
itu kuat tetapi rakyat keliru melihat perpecahan pembangkang.
1 orang berkata:
oakley sunglasses outlet
coach outlet store online
polo ralph lauren uk
cheap ray ban sunglasses
toms sale
coach outlet online
ugg outlet store
gucci outlet
christian louboutin shoes
louis vuitton outlet
20171.11chenjinyan
Post a Comment