Cadang bina kampung baharu atasi masalah rumah
SHAH ALAM - Kerajaan-kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan
Persekutuan dicadang untuk membuka perkampungan baharu untuk mengatasi
masalah pembeli rumah di negara ini.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
berkata, perkampungan baharu ini dibuka dengan premium tanah yang
rendah, mempunyai rumah asas tiga bilik dengan kos di bawah RM75,000
seunit dan menawarkan pinjaman secara pinjaman tanpa faedah.
Menurutnya, tawaran ini diberikan kepada golongan yang memerlukan dan berkelayakan menurut syarat-syarat yang ditetapkan.
“Sekarang ini, bagi pemaju-pemaju perumahan, harga mencecah RM250,000
pun adalah masih dianggap tidak berdaya maju terutamanya di kawasan
Lembah Klang dan kawasan-kawasan bandar yang lain.
“Tambah pula, realiti yang dihadapi oleh rakyat dengan kenaikan kos
sara hidup dan pertumbuhan pendapatan yang terlalu perlahan atau hampir
tiada, pasti menyukarkan lagi rakyat untuk memiliki rumah,” katanya
dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, pinjaman perumahan menerusi sistem konvensional seperti
yang ada pada hari ini menyebabkan peminjam terikat dengan kadar faedah
atau riba’ yang menindas peminjam.
Jelasnya, sistem itu menjejaskan kemampuan peminjam untuk membuat
pembayaran balik pinjaman justeru turut menjejaskan keupayaan dan
prestasi institusi kewangan terbabit sendiri.
“Sebagai contoh, bagi rumah berharga RM250,000, dengan pinjaman
sebanyak 90 peratus dan bertempoh maksimum 35 tahun serta kadar faedah
4.39 peratus bayaran balik setiap bulan adalah RM1,049.55.
“Jumlah bayaran balik selepas tamat tempoh tersebut ialah RM440,811;
iaitu perbezaan sebanyak RM190,811 daripada harga asal rumah tersebut.
Nilai ini sangat membebankan peminjam,” katanya lagi.
Katanya lagi, keputusan kerajaan membenarkan pemaju perumahan menawarkan pinjaman perumahan tidak menyelesaikan isu sebenar.
“Malah, ia dikatakan akan memerangkap lebih ramai lagi pembeli dengan
masalah hutang dan kadar faedah yang tinggi walaupun syarat kelayakan
pinjaman mungkin menjadi lebih mudah,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment