Satu tindakan tidak bijak dari PM
SHAH ALAM - Tindakan memusatkan kuasa kepada tangan perdana menteri,
seorang ahli politik berpentingan untuk parti dan dirinya, terutamanya
ketika perdana menteri dipalit dengan pelbagai skandal, adalah tindakan
yang silap dan sangat tidak bijak.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, orang
politik tidak boleh diberi kuasa mutlak seperti berlaku pada Akta Majlis
Keselamatan Negera (MKN) 2016 termasuklah dalam menentukan darurat,
kerana ada konflik kepentingan yang jelas.
Katanya, kelulusan Yang di-Pertuan Agong wajib diperlukan dalam apa juga keadaan sebelum darurat boleh diisytiharkan.
"Orang politik cenderung mencipta alasan untuk mencampuradukkan kepentingan politik dan partinya dengan kepentingan negara.
"Apakah ada jaminan MKN tidak disalahguna atas nama keselamatan negara
kalau ada pemimpin tertinggi rasa dirinya terancam kerana penyelewengan
seperti terlibat dalam penggubalan wang haram yang didedah di peringkat
antarabangsa?," katanya, semalam.
Isnin lalu, bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar
Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 dengan memfailkan saman di
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Akta MKN yang diluluskan di Dewan Rakyat itu didakwa menghina
peruntukan Perkara 38 (4), menceroboh kedudukan istimewa Majlis
Raja-Raja dan bertentangan dengan hak Yang di-Pertuan Agong.
Persetujuan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong masih diperlukan untuk meluluskan akta ini sebagai undang-undang.
Akta MKN beri kuasa mutlak kepada perdana menteri tanpa melalui Yang
di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan
keselamatan selama enam bulan, tertakluk kepada pembaharuan.
Malah, akta itu juga diberi kuasa untuk menahan, mencari maklumat dan
menangkap individu, dan juga untuk masuk, dan juga menggeledah mana-mana
premis dan merampas harta tanpa waran.
Berhubung isu peguam Tun Dr Mahathir Mohamad diarah melihat kemungkinan
membantu peguam Anwar untuk mencabar Akta MKN, beliau berkata,
berdasarkan pengalaman menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
dan melihat pada Akta MKN yang diluluskan, sudah tentu Mahathir memahami
kesannya kepada negara dan sistem demokrasi negara.
Katanya, dari perspektif rakyat dan aktivis pula, fobia mereka pada ISA
yang disalahgunakan masih mendalam dan kini melanjut kepada Akta MKN
yang kelihatan terlalu memberi kuasa kepada perdana menteri.
"Masalahnya sekarang, siapa dan apa kayu pengukur menentukan negara
dalam bahaya, selain serangan pengganas? Apakah kerajaan juga merasakan
penolakan rakyat secara besar-besaran terhadap amalan rasuah satu
tindakan membahayakan negara sehingga memerlukan MKN dilaksanakan
selepas ini?," katanya.
1 orang berkata:
Hadi pun tak cakap mcm neh.
Lawan tokey nampakkkkkk
Post a Comment