'Penerangan RUU 355 Pas kurang teliti, seperti memaksa'
SHAH ALAM – Penerangan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian
Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016 yang
disampaikan oleh Pas dilihat tidak menyakinkan dalam memberi kefahaman
khususnya kepada masyarakat bukan Islam.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang,
Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM),
Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, penerangan oleh Pas
sebelum ini dilihat lebih kepada paksaan malah terdapat juga masyarakat
Islam yang masih tidak memahami mengenai pindaan RUU 355 ini.
“Masyarakat Islam sendiri masih tidak faham mengenai pindaan ini kerana
penerangan yang diberikan itu tidak terperinci dan menimbulkan
kekeliruan.
“Jadi secara umumnya penerangan yang diberikan itu tidak mencukupi,” katanya ketika dihubungi Sinar Online hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Hadi berjaya bentang, bahas sidang akan datang]
Mei lalu, Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang membentangkan usul pindaan itu selepas Parlimen bersidang
semula pada sebelah petang
Dalam pada itu, Azizuddin berkata, kerajaan persekutuan dan kerajaan
negeri perlu memainkan peranan dalam membantu Pas bagi memberikan
kefahaman berhubung pindaan RUU 355 ini kepada masyarakat.
“Saya rasa kalau kerajaan persekutuan hanya serah pada Pas sahaja,
orang awam akan makin keliru malah turut boleh menyebabkan penentangan
daripada ahli parlimen bukan Islam,”katanya.
Selain itu, Azizuddin berpendapat bahawa pindaan RUU 355 ini tidak
sewajarnya dilaksanakan sehingga penerangan terperinci diberikan
terlebih dahulu dalam memastikan kefahaman kepada rakyat di negara ini.
Sekiranya rakyat tidak dapat memahami pindaan RUU 355 ini dengan baik,
Azizuddin berkata, ia akan menyebabkan pelaksanaannya agak sukar untuk
diimplementasikan selepas ini.
“Walaupun ada yang kata undang-undang ini hanya melibatkan orang Islam,
namun masyarakat bukan Islam masih merasa curiga dengan pelaksanaan
ini,”katanya.
Difahamkan, bacaan kedua bagi RUU355 itu dijangka bakal berlaku pada
sesi sidang Dewan Rakyat bulan depan selepas ahli Abdul Hadi berjaya
membawanya untuk bacaan pertama Mei lalu.
1 orang berkata:
Gempak cerita ruu dah macam hudud. Bila bab hukuman bayar RM je.... kan bukan undang2 Islam tu ...itu undang2 kapitalis! Kenapa gempak sangat dah mcm hudud?
Post a Comment