Cadangan beri lesen buat pinjaman tidak masuk akal
SHAH ALAM - Cadangan Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan
Kesejahteraan Bandar, Tan Sri Noh Omar untuk membenarkan pemaju
perumahan memberikan pinjaman kepada pembeli didakwa tidak masuk akal.
Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, cadangan ini bukan
sahaja tidak praktikal malah akan memburukkan lagi tahap hutang isi
rumah negara yang sudah di tahap kritikal iaitu 89 peratus daripada
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Dengan kadar pinjaman yang tinggi dan tidak berasaskan pasaran iaitu
12 hingga 18 peratus hanya akan meningkatkan lagi hutang isi rumah
Malaysia.
"Apa lagi kadar pinjaman kebanyakan bank di pasaran sekarang adalah
negatif dua peratus kadar asas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Noh
berhubung cadangan untuk memberikan lesen kepada pemaju bagi membuat
pinjaman.
[ARTIKEL BERKAITAN: Cadangan beri lesen buat pinjaman bebankan rakyat]
Mengulas lanjut, Nasrudin berkata usaha ini juga amat berlawanan dengan
usaha Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan beban pengguna dan
meningkatkan permintaan iaitu melalui penurun Kadar Asas Semalaman (OPR)
sebanyak 25 mata asas.
"Malah langkah ini juga adalah pasti tidak mampu untuk memudahkan lagi
pengguna untuk mendapat pinjaman. Ini adalah kerana dalam keadaan
pasaran yang amat kompetitif sekarang pun, hampir 50 peratus pengguna
gagal layak untuk mendapat pinjaman kerana peraturan BNM yang meletak
syarat pendapatan bersih," katanya.
Ujarnya lagi, dalam isu ini Pas yakin jika ia dilaksanakan merupakan
langkah permulaan yang akan menjerumuskan Malaysia ke krisis pinjaman
sub-prime sepertimana yang telah melanda Amerika dalam tahun 2008 lepas.
"Langkah yang tidak dikawal oleh Bafia ini sudah pasti akan melepaskan
pengguna daripada saringan bank, walaupun mereka tidak layak untuk
mendapat pinjaman," katanya.
Untuk itu, katanya Pas mendesak supaya Bank Negara Malaysia menolak
cadangan Noh ini, kerana langkah ini hanya akan memburukkan lagi kawalan
risiko dan seterusnya meruntuhkan ekonomi Malaysia.
0 orang berkata:
Post a Comment