Ahli Umno tetap hormat Tun M tapi...
SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan tetap
dihormati rakyat terutamanya ahli Umno meskipun beliau kini dilihat
menjadi seteru kepada parti kerajaan itu.
Menurut Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee
apabila Mahathir memilih jalan bertentangan dengan parti, bekas Presiden
Umno itu terpaksa menerima hakikat tindakannya itu akan ditentang Umno.
“Demi kuasa Umno untuk masa depan orang Melayu dan umat Islam, Umno
terpaksa menentang mana-mana pihak yang cuba menghancurkannya termasuk
Dr Mahathir.
“Penentangan atas sifat politik itu terpaksa berlaku dan pasti akan
berlaku kerana Umno perlu menjaga survival politiknya dan Dr Mahathir
pula kini berada di sebelah pihak lain,” katanya melalui kenyataan di
blog Umno Cheras.
Menurutnya lagi, pemimpin dan ahli-ahli Umno mempunyai jiwa kental dan
perasaan sayangkan pemimpin biarpun kadangkala kenyataan Mahathir itu
menyakiti hati mereka.
Katanya, penghormatan terhadap jasa dan sumbangan Mahathir terhadap
negara dengan penentangan politik merupakan perbezaan yang amat ketara.
“Tidak ada ahli Umno yang menafikan sumbangan dan jasa Dr Mahathir
selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno paling lama dalam sejarah. Itu
hakikatnya, tetapi apabila dia memilih haluan menentang Umno, maka Dr
Mahathir terpaksa menempuh risikonya.
“Apabila kita memilih jalan yang tidak sehaluan, mahu tidak mahu salah
satu daripada mereka akan berdepan dengan tentangan,” katanya.
Tuduhan Mahathir yang mendakwa pemimpin Umno menerima dedak daripada
Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Razak, Syed Ali menyifatkan tuduhan itu
bersifat subjektif.
“Adakala Dr Mahathir mungkin bermain dengan andaian tetapi telah
dimanipulasikan pula oleh pihak berkepentingan yang berniat jahat
terhadap Umno.
“Datuk Seri Najib akan melakukan apa sahaja untuk kepentingan rakyat
dan ahli-ahli parti termasuk pemberian subsidi dan pelbagai bantuan
semasa. Barangkali inilah yang disalah tafsir dan dilabelkan sebagai
dedak,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment