‘Kami diperlakukan seperti hamba abdi’
KUALA LUMPUR - Dua daripada lima nelayan rakyat Malaysia yang diculik
kumpulan Abu Sayyaf di Filipina pada Julai tahun lepas melalui detik
menyeksakan sepanjang lebih lapan bulan berada dalam tahanan kumpulan
pengganas itu.
Tayudin Anjut, 45, dan Abdul Rahim Summas, 63, yang diselamatkan
pasukan keselamatan Filipina di selatan republik itu pada Khamis lepas,
tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang, malam tadi.
Menurut Tayudin, mimpi ngeri kesemua mereka yang merupakan kru kapal
tunda Serudong Tiga bermula apabila diculik kumpulan Abu Sayyaf di
perairan Dent Haven di Lahad Datu, Sabah pada 18 Julai 2016.
Tayudin dan Abdul Rahim yang kini mengalami pelbagai masalah kesihatan
berkata mereka sering diseksa seperti hamba abdi dan hanya diberi sisa
makanan kumpulan terbabit dan meminum air masin bagi meneruskan
kehidupan.
"Kami disuruh memasak untuk mereka dan hanya sisa makanan mereka akan
diberikan kepada kami...jika tiada lebihan makanan maka tiada makanan
untuk kami.
"Mata kami sering ditutup dan tangan kami sering diikat...kami juga
sering dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain pada waktu malam
di dalam
Kedua-dua mangsa culik itu pagi tadi bertemu Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor untuk melahirkan
sendiri penghargaan kerana kerajaan tidak berputus asa menyelamatkan
mereka.
"Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan
pihak berkuasa Filipina yang menyelamatkan kami, sepanjang lapan bulan,
kami tidak putus harapan dan percaya kami akan diselamatkan satu hari
nanti," katanya.
Menceritakan detik mereka diselamatkan, Tayudin berkata dia dan Abdul
Rahim dibawa oleh orang kampung menaiki perahu sebelum diserahkan kepada
pihak berkuasa Filipina.
"Pada malam itu, kami berdua tidak tahu kami sedang diselamatkan malah
tiga lagi rakan yang turut diculik juga tidak mengetahuinya dan tidak
dapat diselamatkan ketika itu," katanya.
Tayudin dan Abdul Rahim yang masih trauma, berkerusi roda dan tidak
mampu berjalan akibat diseksa ketika diculik turut mengalami masalah
penglihatan akan dirawat di Hospital Selayang sebelum dibawa pulang ke
Sabah.
Kedua-dua mangsa juga mengalami masalah pundi kencing tidak berfungsi akibat terpaksa meminum air masin.
Kedua-dua mereka turut dipertemukan dengan keluarga mereka di kediaman
Perdana Menteri di Jalan Taman Duta di sini, sambil disaksikan Presiden
Kelab Putera 1Malaysia Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Tayudin disambut isterinya Rustia Sultan, 47, dan dua anak mereka iaitu
Nurerin Farisha, 13, dan Mohd Fahirin, 5, manakala Abdul Rahim disambut
anak keduanya Rasniyati, 40, dan beberapa anggota keluarga lain, tidak
dapat menahan tangis sejurus bertemu.
Menurut Tayudin, penculik membenarkan mereka menghubungi keluarga
melalui telefon beberapa kali dalam tempoh tersebut, dan setiap kali itu
juga, penculik mengugut untuk membunuh mangsa.
Abdul Rahim yang menghidap darah tinggi berada dalam keadaan lemah
mengadu sakit di seluruh tubuh dan tidak boleh melihat dengan jelas.
Sementara itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah
(ESSCom) Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid kira-kira pukul 9.30 pagi
tadi mengesahkan tiga lagi rakan Tayudin dan Abdul Rahim yang turut
diculik, Fandy Bakran, 27, Mohd Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan
Ismail, 33, telah diselamatkan tengah malam tadi. – Bernama
2 orang berkata:
Nama je berjuang utk islam. Tapi perangai sebenar tak menggambarkan islam. Lebai abu sayap kebanyakannya mmg mcm tu la.
They are Non-Islamic Muslims....
Post a Comment