Agus Yusoff... 'setiap parti masih ada peluang yang seimbang untuk menang'.
PROF Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, anak
kelahiran Machang, Kelantan, antara pensyarah sains politik yang telah
menggunakan banyak masa akademiknya untuk mengkaji perkembangan politik,
selain mengkaji pola pengundi dan perkembangan pilihan raya di Malaysia
dan Indonesia.
Selain tokoh akademik, beliau lebih dikenali sebagai penganalisis
politik yang mempunyai kelas yang tersendiri dan penilaian terhadap
perkembangan politik tanah air malah hasil kajiannya sentiasa mendapat
rujukan pelbagai pihak khususnya ahli politik dan pihak berkepentingan
terutamanya menjelang pilihan raya umum tahun ini.
Ikuti temu bual eksklusif Sinar Harian Online bersama beliau bagi
mendapatkan gambaran sebenar politik negara menjelang Pilihan Raya Umum
ke-13 (PRU13).
SINAR HARIAN ONLINE: Sebagai seorang penganalisis dan pemerhati
politik, apakah telahan Prof berhubung peluang pembangkang untuk
mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Malaysia?
AGUS: Jika melihat kepada ramalan dari hasil kajian
yang dibuat oleh beberapa penganalisis sebelum ini, kedua-dua parti yang
bersaing iaitu Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) mempunyai
peluang yang sama rata.
Prof (Ulung Datuk) Dr. Shamsul Amri Baharudin meramalkan BN akan menang
dengan 120 kerusi, Penasihat DAP, Lim Kit Siang meramalkan PR akan
menang dengan 125 kerusi, bekas Ketua Ekonomi Bank Islam memberikan
peluang yang lebih baik kepada PR, dan begitulah juga dengan banyak
kajian lain yang telah diberikan oleh para pengkaji dan penganalisis,
lebih kurang seimbang sahaja peluangnya.
Tidak ada seorang pun penganalisis yang berani meramalkan mana-mana
parti yang bersaing dapat memenangi dengan dua pertiga majoriti
sepertimana yang biasa kita dengar sebelum ini.
Bagi saya pula, setelah penelitian dibuat kepada data yang ada, kedudukan sekarang adalah sengit.
Setiap parti masih mempunyai peluang yang seimbang untuk menang dengan
kedudukan sekarang saya dapati BN selesa di 96 kerusi dan PR di 68
kerusi.
Selebihnya 58 kerusi lagi adalah kawasan menarik untuk diperhatikan
kerana secara umumnya kerusi-kerusi tersebut mempunyai komposisi
pengundi bukan Melayu yang agak ramai iaitu sekitar 20 peratus.
Kelebihan dan kekurangan BN-PR
SINAR HARIAN ONLINE: Oleh kerana Malaysia satu-satunya negara
Komanwel yang belum pernah menukar Kerajaan Persekutuan sejak lebih 50
tahun lalu, adakah Prof menjangkakan peralihan kuasa itu akan berlaku
sepertimana yang berlaku di negara-negara jiran yang lain?
AGUS: Saya telah nyatakan bahawa, kedudukan setiap
parti yang bersaing sekarang ini sengit dan masing-masing parti belum
menunjukkan “winning posture” yang jelas bahawa mereka akan memenangi
pilihan raya ini.
Banyak aspek lain yang perlu diberikan perhatian. Saya perhatikan
isu-isu kempen, kekuatan jentera parti, janji-janji politik parti,
kredibiliti calon, dan imej parti adalah seimbang. Masing-masing ada
kekuatan dan kelemahan.
Jika dilihat dari aspek kewangan dan media, saya fikir kekuatan BN
melebihi PR dalam soal ini. Tetapi kelebihan BN tidak jauh kerana
sekarang ini yang menentukan kemenangan sesebuah parti tidak bergantung
semata-mata kepada 3M ('money', 'machinery' dan media) sepertimana
dahulunya, tetapi adalah sikap pengundi.
Inilah yang menarik untuk dikaji iaitu tentang sikap pengundi muda,
pengundi bandar, pengundi kelas menengah, pengundi kampung, pengundi
wanita, pengundi atas pagar, pengundi diam, pengundi Melayu dan bukan
Melayu.
Dengan banyaknya faktor yang masih perlu diambil kira dan senario yang
ada sekarang, terlalu awal untuk bercakap tentang perubahan kerajaan.
Satu yang saya pasti ialah jika kerajaan BN masih lagi dapat
mengekalkan keselesaan hidup rakyat, maka peluang “status quo” kekal
adalah tinggi.
Tsunami 2008 PRU13 berbeza
SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana pula tsunami politik 2008,
sejauh mana Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan berjaya melenyapkan
gelombang itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti?
AGUS: Tsunami 2008 dengan PRU 2013 adalah berbeza.
Tsunami 2008 datang tanpa dijangka dan di luar dugaan. Dalam PRU ini,
apa juga keputusannya rakyat telah menjangkakannya kerana tidak ada satu
parti pun yang akan menang dengan majoriti yang besar.
Apakah kepimpinan Perdana Menteri dapat melenyapkan tsunami 2008 dalam
PRU ini? Saya tidak fikir semudah itu kerana seperti yang saya katakan
tadi, semuanya adalah seimbang.
Apatah lagi dalam banyak program transformasi yang diumumkan oleh PM,
rakyat masih belum menikmati lagi kejayaan dari program tersebut,
cumanya dapat menerima beberapa bantuan sosial yang diberi secara
“one-off” sahaja. Saya tidak fikir sekadar bantuan “one-off” dapat
melenyapkan tsunami 2008.
SINAR HARIAN ONLINE: Ada pihak mengatakan, tsunami 2008 itu
berlaku disebabkan rakyat kecewa dengan kepincangan yang berlaku dalam
BN, khususnya Umno baik dari segi salah guna kuasa, rasuah, sabotaj
calon PRU12, politik wang dan perebutan kuasa. Oleh sebab itu, rakyat
beralih arah kepada pembangkang untuk memberi pengajaran kepada BN
supaya insaf dan perbaiki kelemahan parti. Sejauh mana pandangan itu
mempunyai asasnya?
AGUS: Semua pandangan di atas mempunyai asasnya dan
saling berkait antara satu sama lain. Namun, masih ada empat lagi
faktor besar yang menyumbang kepada berlakunya tsunami 2008.
Pertama ialah kemarahan rakyat kepada kenaikan kos hidup disebabkan
oleh tindakan kerajaan waktu itu menaikkan harga minyak dalam kadar yang
belum pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin pun sebelum ini.
Kedua, pengaruh media alternatif yang cukup luar biasa dalam
mempengaruhi pengundi muda dan kelas menengah untuk menolak kerajaan.
Ketika itu, kerajaan BN tidak memberikan perhatian yang besar sangat
kepada pengaruh dan keberkesanan media ini berbanding dengan sekarang
ini.
Ketiga, faktor calon BN yang menimbulkan ketidakpuasan hati pemimpin
dalam BN sendiri. Hal ini panjang untuk dihuraikan tetapi telah
dibahaskan dengan baik oleh ramai penganalisis sebelum ini.
Satu lagi faktor yang mempunyai persamaan dengan kedudukan BN sekarang ialah tentang janji-janji politik.
Jika pada 2008, rakyat menaruh harapan yang menggunung tinggi kepada
slogan bekerja bersama saya, menghapuskan rasuah, dasar pembangunan
koridor bagi setiap wilayah, sekarang ini rakyat juga meletakkan harapan
yang tinggi kepada kejayaan pelaksanaan gagasan 1Malaysia, NKRA dan
pelbagai program transformasi kerajaan.
Jika pada 2008, harapan tinggi rakyat gagal diterjemahkan dengan baik
oleh kerajaan, saya fikir rakyat juga sedang menilai dengan penuh teliti
kejayaan pelaksanaan dasar kerajaan seperti yang saya tadi.
SINAR HARIAN ONLINE: Pembangkang sangat sinonim dengan budaya
himpunan jalanan dan demonstrasi di negara ini, yang terbaru ialah
Himpunan Kebangkitan Rakyat atau #KL112 di Stadium Merdeka yang telah
mencatatkan sejarah apabila ia berlangsung dengan aman, tanpa provokasi
pihak tertentu dan tanpa keganasan yang melampau. Adakah ia petanda awal
Umno-BN akan berkubur pada PRU13 apabila majoriti yang menyertainya
adalah orang Melayu?
AGUS: Saya tidak nampak kaitan sebuah perhimpunan
Himpunan Kebangkitan Rakyat yang berlangsung aman dengan petanda bahawa
kerajaan BN akan berkubur dalam PRU13 nanti. Jika perhimpunan
berlangsung aman, maka itulah yang kita harapkan dan itulah yang kita
mahu.
Biarpun majoriti yang hadir dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat adalah
orang Melayu, data yang kumpulan penyelidik saya kutip mendapati
majoriti orang Melayu di desa, di tanah rancangan, hatta di bandar masih
bersama dengan BN.
Yang menjadi masalah kepada BN sekarang ialah sokongan bukan Melayu
kepada PR sekarang ini padu, satu kelainan ketara dari sikap pengundian
mereka sebelum PRU 2008.
Jadi, masalahnya sekarang ialah BN menghadapi krisis keyakinan dari bukan Melayu, bukannya orang Melayu.
'One-off' hanya gula-gula sementara
SINAR HARIAN ONLINE: Sejak akhir-akhir ini Datuk Seri Najib
dilihat mendahului pembangkang dengan mengguna pakai idea pembangkang
yang diubah suai berhubung program kebajikan seperti BR1M, Bantuan Awal
Persekolahan, rebat telefon pintar, PR1MA dan sebagainya. Adakah BN
ketandusan idea untuk memikat hati pengundi dengan mengubahsuai idea
pembangkang dan menjadikan BN semakin popular. Sejauh mana ia memberi
kesan kepada sokongan dan menyumbang kepada peningkatan undi pada PRU13
nanti?
AGUS: Menerima pakai idea pembangkang untuk memberikan
bantuan kepada rakyat adalah sesuatu yang baik. Sekurang-kurangnya
kerajaan bersedia untuk melaksanakan apa juga idea pembangkang yang baik
untuk kesejahteraan rakyat.
Persoalannya bukan itu pada saya. Yang penting dijawab ialah sejauh
manakah idea pembangkang itu baik? Dan sejauh manakah bantuan 'one-off'
itu memberi kesan positif pada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat?
Saya harus nyatakan tawaran mana-mana parti yang berbentuk 'one-off'
itu hanya sekadar gula-gula sementara kepada rakyat bagi mendapat
sokongan dalam pilihan raya. Langkah PR yang menjanjikan banyak ‘barang
percuma’ sekiranya memerintah dan selepas itu cuba diikuti rapat oleh BN
bukanlah dasar ekonomi yang baik.
Saya kira dasar seperti itu tidak adil pada ekonomi negara yang
memerlukan banyak wang untuk membayar hutang luar dan menyediakan
pembangunan fizikal kepada rakyat.
Saya harap selepas PRU13 nanti, dasar ekonomi negara dan sistem
percukaian negara perlu disusun semula supaya kerajaan boleh berlaku
adil kepada semuanya sama ada kepada rakyat mahupun ekonomi negara.
Terakhir yang perlu saya jawab ialah sejauh manakah bantuan di atas
mempengaruhi sokongan pengundi? Saya tidak nampak memberikan kesan yang
signifikan. Rakyat tidak lagi ghairah dengan bantuan tersebut sehingga
ada yang sudah menganggap itu sebagai tanggungjawab kerajaan untuk
memberikannya.
Rakyat yang tidak menyokong kerajaan juga sudah diberitahu supaya ambil
sahaja bantuan yang diberi kerajaan, tetapi undi jangan bagi. Kesedaran
politik rakyat kita sudah semakin banyak berubah.
SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana Prof melihat keterdesakan BN dan
PR dalam meraih sokongan hingga menjadikan politik samseng sebagai
salah satu cara untuk menjajah minda pengundi dan menyekat kebebasan
menyampaikan dakyah masing-masing kepada rakyat.
AGUS: Rakyat tanpa mengira dari parti apa pun tidak boleh menerima
politik samseng. Jadi, bagi mana-mana parti yang menggunakan taktik ini,
yakinilah itu bukannya yang rakyat mahu.
Oleh itu, harapnya kita sama-samalah meraikan perbezaan parti dan
pendapat dengan penuh semangat demokrasi. Buat apa takut pada parti
lawan sehingga perlu kepada politik samseng? Saya tidak nampak
relevannya sikap seperti ini untuk mendapatkan undi rakyat.
Maksimumkan isu
SINAR HARIAN ONLINE: Politik menghalalkan cara untuk mencapai matlamat.
Sejauh manakah Prof melihat pelbagai isu kontroversi yang ditimbulkan
pelbagai pihak, baik kerajaan mahupun pembangkang. Adakah mereka ingin
menjadikannya sebagai polemik hingga pilihan raya nanti?
AGUS: Isu hudud, isu kalimah ALLAH, isu cincin, isu
rasuah, isu Teoh Beng Hock, isu air di Lembah Klang dan Kelantan dan apa
juga isu yang boleh dipolitikkan akan digunakan sampai ke tahap
maksimum untuk mempengaruhi rakyat dalam kempen pilihan raya nanti.
Ini kerana isu adalah sentimen yang boleh mempengaruhi pemikiran
pengundi. Saya tidak ada masalah dengan penggunaan isu-isu dalam kempen
politik, tetapi masalahnya ialah apabila ada isu yang digunakan itu
adalah bersifat peribadi dan mengaibkan. Inilah yang tidak baiknya
sehingga menampakkan sikap politik kita yang jauh dari matang.
Oleh sebab itulah, saya melihat ahli politik negara kita ini, adalah
antara yang terkuat mentalnya di dunia. Ini kerana untuk terjun dalam
arena politik negara, maka mereka mesti bersedia bukan hanya sekadar
menadah telinga untuk mendengar pujian dan cacian, tetapi juga bersedia
untuk ditelanjangkan dan diaibkan.
Saya sendiri jika ditanya bersediakah untuk terjun dalam dunia politik
praktis, saya akan segera jawab tidak mahu dan tidak mungkin kerana saya
tidak mempunyai kekuatan itu.
SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana pula dengan layanan kerajaan
kepada pembangkang dari segi kebebasan bersuara menerusi media arus
perdana sepertimana yang diamalkan di Eropah dan negara barat yang lain?
Permintaan Presiden Pas untuk menjelaskan Amanat Haji Hadi menerusi
stesen tv kawalan kerajaan hingga ke hari ini menjadi persoalan dan
pembangkang melihat BN tidak mengamal dasar demokrasi yang luhur dalam
hal ini.
AGUS: Saya tidak lihat pembangkang mempunyai peluang
untuk mendapat liputan berita yang baik dalam media perdana di negara
kita. Sebab itulah ramai sarjana mengatakan pilihan raya di negara kita
ini bebas tetapi tidak adil.
Bebas kerana kita adakan pilihan raya secara berkala apabila tiba
masanya dan kita boleh terlibat dalam politik tanpa banyak gangguan,
tetapi tidak adil kerana media massa perdana dikuasai sepenuhnya oleh
kerajaan.
Mujurnya, bagi mengimbangi penguasaan media perdana kerajaan, wujud
media alternatif yang membolehkan parti pembangkang turut bermain
‘politik dalam ruangan.’
Tetapi melihat dari sudut yang lain, saya dapati media pembangkang juga
mensensasikan berita sama seperti media kerajaan sahaja. Itu sudah
menjadi tahap profesionalisme kewartawanan berlesen yang ada di negara
kita.
Mengenai kebenaran untuk (Presiden Pas Datuk Seri) Tuan Guru Haji Hadi
(Awang) muncul di TV kerajaan bagi menjelaskan isu Amanatnya, saya sudah
nyatakan sebelum ini bahawa Pas perlu mencari alternatif lain bagi
membolehkan Tuan Guru Haji Hadi memberi penjelasannya secara langsung,
iaitu melalui media online.
Hujah saya ialah untuk menamatkan Amanat Hadi ini dari terus
dipolemikkan. Hujah orang kampung tidak boleh menontonnya jika diadakan
secara langsung melalui TV online kerana tidak ada kemudahan internet di
rumah.
Telah saya jawab dengan menyatakan perkara ini boleh dimuat naik dalam
Youtube atau jualkan sahaja kaset sepertimana amalan Pas sebelum ini.
Saya kira, itu jawapan kepada kekangan yang ada. Tetapi nampaknya
cadangan saya tidak diterima. Jika begitu, maka kesemuanya, baik di
pihak BN atau PR, sama-sama akan mempolitikkan apa juga isu asalkan di
akhirnya akan mendapat laba politik daripadanya.
Sidang Parlimen lebih segar
SINAR HARIAN ONLINE: Pada pandangan Prof, sejauh mana
pembangkang mempamerkan kualiti perdebatan yang diharapkan di Parlimen
mahupun di Dewan Undangan Negeri (Dun)?
AGUS: Pembangkang memainkan peranan yang efektif di
Parlimen dan Dun (jika di Dun, ini termasuklah peranan wakil rakyat BN
sebagai pembangkang di negeri yang dikuasai oleh PR). Mereka banyak
menimbulkan isu-isu substantif yang wajar diberi perhatian oleh rakyat
dan juga kerajaan. Tindakan mereka di Parlimen dan Dun, suka atau tidak
suka telah membuatkan rakyat kita celik politik hari ini.
Masalahnya adalah dari segi masa perbahasan yang singkat. Masalahnya
adalah dari segi mutu perbahasan sesetengah ahli parlimen yang
menjadikan Parlimen seperti pasar ikan atau pasar malam. Harus diingat,
yang menjadikan sidang Parlimen itu kecoh bukan hanya dari parti
pembangkang sahaja, tetapi juga di pihak kerajaan. Ada ketikanya
mencelah tanpa izin, ada ketikanya tidak ikut peraturan Dewan, ada
ketikanya menggunakan 'point of order' di tempat yang tidak betul.
Tapi keseluruhannya, saya lihat Parlimen kita lebih segar dengan adanya
pembangkang yang kuat. Cuma yang perlu kita fikirkan ialah bagaimana
hendak munculkan pembangkang yang sihat?
SINAR HARIAN ONLINE: Apakah yang dapat Prof rumuskan berhubung
landskap politik di negara ini? Adakah masih di takuk lama atau sudah
berganjak kepada politik baru sepertimana yang dikatakan Datuk Saifuddin
Abdullah?
AGUS: Politik kita masih di takuk lama. Di kala dunia
bercakap tentang keterbukaan, politik kita masih lagi dipenuhi dengan
fitnah memfitnah, caci memaki, benci membenci dan keengganan elit
politik untuk berubah. Kempen mereka masih lagi dengan tawaran lama,
tanpa ada satu tawaran baru yang lebih menarik. Ini saya lihat
kekurangan utama yang ada pemimpin BN khususnya, mungkin kerana sudah
cukup selesa setelah sekian lama berada di tampuk kuasa.
Selain itu, di kala kita bercakap tentang hak-hak asasi rakyat,
pemimpin kita meminda undang-undang tetapi di akhirnya tidak banyak pun
perubahan substantif yang dibuat ke atas undang-undang tersebut. Ia
sekadar menukar minuman lama ke dalam botol baru sahaja.
Begitu juga dengan pemimpin pembangkang, banyak juga yang masih belum
selesai dari segi tingkah laku mereka. Apabila berceramah, mereka akan
menimbulkan kebencian dan menyumpah seranah orang. Ini bukan jiwa
seorang pemimpin yang besar. Bercakap juga dengan modal idea yang tidak
berkembang dengan isu-isu lama yang sudah luput.
Pendekatan politik Datuk Saifuddin Abdullah luar biasa pada saya. Jiwa
besar beliau yang memahami aspirasi generasi kini akan menjadikan beliau
relevan dalam politik negara dan beliau berada dalam kelasnya yang
tersendiri. Semoganya selepas PRU13 nanti akan muncul ramai pemimpin
seperti Datuk Saifuddin Abdullah dalam pentas politik negara.
Saifuddin ikon politik
SINAR HARIAN ONLINE: Apakah kerana Prof berkawan rapat dengan Datuk Saifuddin menyebabkan Prof berkata demikian?
AGUS: Saya mengenali Datuk Saifuddin dan beliau
mengenali saya, tapi kami tidak pernah berbincang soal politik secara
bersama. Saya berkata demikian kerana saya tahu ramai anak muda
mengangkat beliau sebagai ikon politik yang negara mahukan, bukan kerana
beliau BN atau timbalan menteri, tetapi kerana pendekatan politiknya
yang mahu membawa perubahan minda kepada ahli-ahli politik.
Saya setuju dengan beliau dalam soal ini, menerima yang baik itu sebagai baik dan yang buruk itu sebagai buruk.