Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

MUHYIDDIN TERUS BERISTIQAMAH


Penggantungan jawatan Muhyiddin adalah tindakan terburu-buru
 Ketua Wanita Umno Bahagian Pagoh, Datuk Noriah Mahat
Ketua Wanita Umno Bahagian Pagoh, Datuk Noriah Mahat

JOHOR BAHRU - Pemuda Umno Pagoh mensifatkan penggantungan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden Umno adalah tindakan yang terburu-buru.

Ketuanya, Mohd Zaid A Rahman berkata, malah keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno itu boleh membunuh demokrasi dan melanggar perlembagaan parti iaitu Fasal 9.12.

"Syabas dan tahniah diucapkan kepada Muhyiddin kerana terus istiqamah memperjuangkan prinsip mempertahankan prinsip amal maaruf nahi mungkar.

"Apapun kerakusan MT Umno ini ada hikmahnya, setelah sekian lama digantung tidak bertali dan dilayan dengan buruk oleh mereka akhirnya beliau sudah lepas bebas.

"Apalah gunanya jawatan sekiranya hanya menjadi boneka dan pak turut apatah lagi bersekongkol," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.

Mohd Zaid berkata, perjuangan mempertahankan yang hak, amal maaruf dan nahi mungkar adalah dakwah yang wajib dilaksanakan merentas jawatan dan sebaliknya.

"Kita percaya Muhyiddin akan terus istiqamah dalam perjuangan parti membela agama bangsa dan negara meskipun jawatannya digantung.

"Maka, kita akan terus istiqamah dan sentiasa menyokong tindakan beliau mempertahankan kebenaran," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Wanita Umno Bahagian Pagoh, Datuk Noriah Mahat berkata, mereka berdiri teguh dengan keputusan Umno Bahagian Pagoh yang menyatakan rasa kecewa serta menolak keputusan penggantungngan Muhyiddin.

"Kita berpendapat keputusan itu  tidak mengikut prosedur dan perlembagaan Umno sehingga sekaligus mengetepikan demokrasi dalam Umno itu.

"Malah, kita berpegang teguh kepada kedudukan Muhyiddin yang dipilih oleh perwakilan Umno seluruh Malaysia.

"Tindakan MT Umno boleh dikategorikan sebagai mengkhianati parti dan mencabar kewibawaan perwakilan Umno yang telah memilih beliau sebagai orang nombor dua dalam parti.

"Oleh itu, sepatutnya keputusan itu dibuat untuk menyatupadukan ahli di semua peringkat dan bukannya memecah belahkan parti," katanya.

MUHYIDDIN PERLU MEMIKIRKAN POLITIK BARU

Muhyiddin kini ada lebih banyak ruang bersuara
Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin. - Foto Sinar Harian

SHAH ALAM - Penganalisis politik berpandangan penggantungan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden Umno akan memberi lebih ruang kepadanya untuk bersuara.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata,‎ ini boleh dilihat berdasarkan kenyataan yang Muhyiddin keluarkan selepas beliau digantung.

"Melihat kepada kenyataan selepas beliau digantung, saya rasa beliau akan lagi bebas mengkritik kepimpinan parti," katanya kepada Sinar Online hari ini.

Namun, ujarnya, karier politik Muhyiddin diramalkan tidak akan kekal lama.

“Terpulang pada Muhyiddin. Berdasarkan umur dia, saya rasa dia masih ada sepenggal atau paling lama pun dua penggal untuk aktif berpolitik," katanya.


Majlis Tertinggi (MT) Umno kelmarin sebulat suara membuat keputusan menggantung jawatan  Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden parti berkuat kuasa serta merta.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Naib Presiden Unmo Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjalankan tugas-tugas timbalan presiden itu.

Muhyiddin melalui satu kenyataan hari ini dilihat benar-benar 'meluahkan isi hatinya' selepas beliau digugurkan daripada jawatan Timbalan Presiden Umno.

TABUNG HAJI LAPOR POLIS

TH lapor polis, Rafizi didesak tunjuk bukti
Lembaga Tabung Haji
.
SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) membuat laporan polis hari ini selepas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa agensi tersebut memberi jaminan korporat kepada sebuah syarikat bersekutunya, TH Heavy Engineering Berhad (THHE).

Menafikan dakwaan tersebut, Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat TH menerusi kenyataan hari ini meminta Rafizi menamakan bank yang memberi pinjaman kepada THHE sebagai bukti dakwaan terbabit.

‎TH juga turut menuntut Rafizi mengemukakan bukti surat jaminan korporat seperti yang didakwa oleh Rafizi.

"Kami amat kesal dengan penyebaran dokumen-dokumen menerusi laman sosial secara rambang dan tuduhan tidak berasas serta berunsur fitnah.

"Dakwaan tersebut jelas memberi impak negatif kepada TH dan akan menjejaskan kepentingan para pendepositnya," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut pihak TH lagi, laporan tersebut dibuat bagi menjaga kepentingan reputasi TH sebagai sebuah institusi Islam di negara ini.

Sebelum ini, Rafizi menegaskan terdapat jaminan korporat diberikan TH kepada THHE.

Beliau dalam pada itu turut melampirkan surat didakwa daripada kerajaan kepada pegawai kanan TH pada Disember lalu berkaitan dakwaannya itu.

AMANAH, nasib besi timbul nasib sabut tenggelam

PUUULAMAAAAK ! TERBONGKAR SUDAH AMANAH BUKAN SEBUAH PARTI ISLAM, TAPI PARTI ASSOBIYAH ! TERBUKA TEMBELANG !!!! HAI MAT APA KHABAQ !!! - Pak Karamu
 
 
Amanah Johor hulur tangan kepada Muhyiddin
Parti Amanah Negara
Parti Amanah Negara

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor‎ hari ini mengajak Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan Umno Negeri Johor untuk meninggalkan Umno dan menyertai parti itu untuk melakukan perubahan  kepada rakyat.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, sekiranya seluruh ahli Umno Johor keluar parti dan menyertai mereka, ia membuktikan penyatuan anak-anak Johor dalam bersama melakukan gelombang perubahan negara.

"Dua sosok anak Johor, (bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dan Muhyiddin) ini menggambarkan betapa bangsa Johor dilihat gah dalam kepimpinan negara. Kedua-duanya merupakan pemimpin yang berprinsip.

"Saya selaku pengerusi dengan semangat #Bangsa Johor yang tertanam hebat dalam diri setiap rakyat Johor, dengan ini mengajak seluruh rakyat Johor tidak kira dari parti mana dan kaum apa untuk sama-sama buktikan, bangsa Johor bakal mengetuai gelombang perubahan rakyat!" katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, Muhyiddin bersama Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohd Khalid Nordin perlu berjuang untuk membebaskan negara daripada segala permasalahan dan skandal.

"Bersamalah dengan Amanah sekaligus bergabung padu dengan Pakatan Harapan. Kita bersatu demi keadilan dan kemajuan bangsa Johor dan Malaysia," katanya lagi.

Penubuhan Amanah lebih suram dari Berjasa dan Hamim

Sama seperti parti serpihan Pas yang lain
Sama seperti parti serpihan Pas yang lain
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Mohd Nassurudin Daud (dua kiri) mengiringi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merasmikan Harap 3.3 di Kampung Padang Mengkuang, malam kelmarin.

MARANG – Kemunculan parti Amanah tiada bezanya dengan kemunculan parti-parti serpihan Pas sebelum ini seperti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim).

Malah, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Mohd Nassurudin Daud menyifatkan masa depan Amanah lebih suram berbanding penubuhan Berjasa dan Hamim yang diterajui oleh bekas menteri besar Kelantan dan bekas presiden Pas itu.

Menurutnya, sejarah politik di negara ini juga telah membuktikan penubuhan parti serpihan Pas seperti Berjasa dan Hamim tidak mampu untuk kekal lama tetapi Pas dilihat terus utuh sebagai parti pembangkang utama di negara ini hingga kini.

“Bekas menteri besar Kelantan, keluar dari Pas tubuh Berjasa. Bekas presiden Pas (pula) meninggalkan Pas menubuhkan Hamim. Tetapi kita tetap kekal.

"Kalau ditubuhkan bekas Presiden pun tidak kekal, apakan pula Amanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ketika berucap pada Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.3 sebelum majlis himpunan berkenaan dirasmikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kampung Padang Mengkuang di sini, malam kelmarin.

Beliau yang merupakan Exco Kerajaan Kelantan turut menasihati ahli Amanah kembali kepada Pas kerana Amanah hanya keluar dari Pas untuk bergabung dengan DAP yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan hudud di negeri Kelantan.

“Amanah dalam bahasa Arab dengan maksud hancur. Sebab itu saya nasihatkan supaya kembali kepada Pas.

"Amanah keluar daripada Pas untuk bergabung dengan DAP. Sedangkan DAP bukan hanya tidak bersetuju bahkan menentang pindaan Hudud di Kelantan,” katanya.
 

PERHIMPUNAN 27 MARCH DEPAN


'Saya anti Umno, bukan anti orang Umno'
Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi

MARANG – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa beliau tidak akan menyertai sebarang himpunan anti-Najib termasuk yang dijadualkan berlangsung pada 27 Mac depan.

“Saya anti Umno….tetapi tidak (anti) orang Umno, orang Umno tidak, orang Umno kita (Pas) hendak berbaik. Ada pun parti Umno sudah banyak (buat) kesilapan. (Oleh itu) saya tidak mahu terlibat dalam himpunan (anti-Najib) itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian mengulas himpunan anti-Najib dijadualkan berlangsung 27 Mac ini selepas melepaskan peserta acara Langkah Harap sempena program Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.3 di Padang Mengkuang, semalam.

Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menyuarakan hasrat untuk menganjurkan satu perhimpunan bagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk melepaskan jawatannya.

Bagaimanapun, Zaid berkata, acara yang dijadualkan pada 27 Mac itu bukan merupakan bantahan awam tetapi sebenarnya adalah satu acara yang diadakan secara ‘tertutup’ dan atas ‘jemputan sahaja’ kepada kira-kira 1,000 orang.

“Saya lihat ramai masih bercakap mengenai perhimpunan pada 27 Mac, ia sebenarnya satu perjumpaan pemimpin dalam suasana tertutup.

“Saya tidak pernah kata ia akan menjadi protes jalanan atau perhimpunan awam. Saya bukannya seperti Bersih,” tulis Zaid dalam tweetnya sebelum ini.

KENYATAAN KU NAN


KEMANA MUHYIDDIN PERGI SELEPAS INI ? ATAU APA PERANCANGANNYA ?

Pemimpin BN sifatkan penggantungan langkah terbaik
Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR - Keputusan Majlis Tertinggi Umno yang menggantung jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden Umno disifatkan sebagai langkah untuk memantapkan parti dalam meneruskan agenda membela rakyat dan memajukan negara.

Selain menyatakan keputusan itu sebagai wajar, kalangan pemimpin Umno berpendapat sebarang gangguan yang berlaku dalam parti pastinya memberi kesukaran kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

Di KOTA BHARU, Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata negara memerlukan kepimpinan dan perpaduan yang jitu dalam usaha meneruskan agenda membela rakyat serta memajukan negara.

"Kita hendak pastikan kepimpinan Datuk Seri Najib yang diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum lepas untuk mentadbir negara ini selama lima  tahun, kita nak pastikan perdana menteri mendapat sokongan padu supaya dapat meneruskan mandat tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan MT Umno semalam yang sebulat suara menggantung jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden parti berkuat kuasa serta-merta.  

"Ini satu tindakan yang diharap akan dapat memantapkan parti kerana kita memerlukan kepimpinan yang kuat untuk meneruskan agenda membela rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya selepas merasmikan pelancaran Himpunan Siswazah Kelantan Pra Universiti di sini.

Di MACHANG, Timbalan Pengerusi Umno Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menyifatkan keputusan MT itu sebagai wajar disebabkan Muhyiddin sebelum ini banyak mengkritik presiden Umno secara terbuka dan tidak mengikut saluran yang ditetapkan parti.

Ahmad Jazlan berkata, presiden parti memerlukan seorang timbalan berwibawa yang sanggup membantunya bagi memperkuatkan perjuangan parti.

Di KUALA LUMPUR, Wanita Umno mempersoalkan ketidakhadiran Muhyiddin dalam mesyuarat MT Umno semalam, yang dilihat menjadi platform terbaik untuk memperjelaskan tindakannya yang melanggar peraturan dan semangat perjuangan Umno.

Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Muhyiddin telah dimaklumkan berkenaan mesyuarat MT berkenaan dan beliau (Muhyiddin) boleh memberi penjelasan berhubung tindakannya itu.

"Sebelum ini kita dengar banyak desas-desus bahawa Tan Sri Muhyiddin hadir majlis kempen anti-Najib dan beberapa majlis yang tak sepatutnya yang jelas melanggar peraturan semangat perjuangan Umno.

"Kenapa beliau tidak hadir mesyuarat MT semalam? Walhal sudah dimaklumkan. Di mesyuarat itulah Tan Sri Muhyiddin boleh beri penjelasan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis perasmian Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di sini.

Di KANGAR, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata penggantungan jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno adalah wajar untuk memantapkan Umno selain bertepatan dengan peruntukan dalam Perlembagaan Umno.

"Penggantungan Muhyiddin adalah wajar kerana MT juga berhak menyingkir beliau daripada parti. Saya fikir keputusan MT ini munasabah," kata Azlan selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 1,427 penerima di Dewan 2020 di sini.

Di ALOR SETAR, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata keputusan MT Umno terhadap Muhyiddin itu dilakukan berikutan kegagalan beliau menjalankan tugas membantu presiden Umno untuk memperkuat dan memperkasakan parti.

"Keputusan penyingkiran ini bukan atas alasan untuk menutup mulut beliau daripada bersuara," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian BR1M di sini.

Di PADANG TERAP, Ahli MT Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan tindakan penggantungan jawatan terhadap Muhyiddin sebagai perkara lumrah dalam politik.

Timbalan Pengerusi Umno Kedah itu berkata ini kerana dalam sesebuah organisasi atau pertubuhan khususnya politik, solidariti adalah kunci utama untuk berhadapan dengan pilihan raya umum.

"Kalau timbalan presiden tidak bersama dengan presiden parti, kenyataan bercanggah, jadi macam mana nak bekerja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Lubuk Merbau di Padang Awam Felda Lubuk Merbau di sini.

Mahdzir berkata, tindakan menegur boleh dilakukan, namun biarlah melalui kaedah yang betul, misalnya melalui mesyuarat bersama.

Di RAWANG, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong percaya keputusan untuk menggantung jawatan Muhyiddin itu dibuat oleh kepimpinan Umno selepas membuat pertimbangan sewajarnya demi kepentingan parti.

"Saya berpendapat setiap parti ada caranya sendiri. Parti lain juga membuat keputusan dalaman untuk mengambil tindakan tertentu. Saya yakin keputusan ini dibuat demi kepentingan parti," katanya kepada pemberita pada rumah terbuka Tahun Baru Cina Gerakan Selangor di Serendah, dekat sini.

Ditanya sama ada isu itu boleh menjejaskan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka diadakan April ini, Mah menyuarakan keyakinan bahawa jentera pilihan raya BN akan menggunakan strategi yang sewajarnya bagi memastikan kemenangan.

Sementara itu di BESUT, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata keputusan MT Umno yang menggantung jawatan Muhyiddin itu bukanlah tindakan terburu-buru atau memusuhi sesiapa.

Sebaliknya, beliau berkata keputusan itu dibuat setelah melakukan perbincangan dengan mengambil kira pelbagai perkara demi kepentingan parti.   

Muhyiddin masih merupakan ahli Umno dan penggantungan jawatan itu dibuat atas kapasiti timbalan presiden apabila beliau tidak lagi dilihat bersedia membantu presiden parti, katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan di Kuala Besut hari ini.

Ditanya sama ada keputusan penggantungan itu akan mengakibatkan perpecahan dalam parti, Shabery yang juga Ahli MT berkata: "Kita berharap tidak akan berlaku perpecahan."

Di BALIK PULAU, Ahli Parlimen Balik Pulau Dr Hilmi Yahya berkata rakyat kelak akan memahami keputusan MT Umno menggantung jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno.

Justeru itu, katanya setiap isu dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat MT tidak perlu dibincangkan secara terbuka.

"Apa saja yang dibincangkan dalam mesyuarat tidak patut dibawa dan dibincangkan di luar kerana perbuatan membincangkan sesuatu isu di luar adalah menyalahi etika anggota Umno," katanya.  - Bernama

BILA AZMIN BERSUARA , APA KATA UMNO ?

Gesaan Muhyiddin disambut baik Azmin
Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin hari ini, mengalu-alukan kenyataan tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai desakan supaya reformasi dalam institusi negara dilakukan.

Azmin yang juga merupakan Timbalan Presiden PKR berkata, pendirian Muhyiddin itu selaras dengan perjuangan PKR, parti-parti pembangkang dan masyarakat madani selama ini.

"Perjuangan  ini adalah perjuangan reformasi yang dianjurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia adalah titik perubahan untuk negara Malaysia.

"Masa telah tiba di mana semua parti-parti politik, organisasi masyarakat madani, pemimpin dan individu perlu bersatu sebagai rakyat yang prihatin untuk tujuan yang lebih besar demi menyelamatkan negara," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.


Ujarnya, skandal kewangan, kegagalan institusi negara, sekatan ke atas hak dan kebebasan rakyat sehingga terbungkam nilai-nilai bersama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan harus menjadi pendorong untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia demi melaksanakan reformasi.

"Kita mesti bangkit di atas perbezaan dengan kesatuan hasrat mengambil-alih tampuk kepimpinan negara yang lemah. Rakyat tidak boleh lagi bertolak ansur dengan pelanggaran hak asasi. Mereka tidak wajar menderita dengan ketidakadilan yang berlaku di tangan pemimpin yang menyalahgunakan kuasa," katanya.

Katanya lagi, rakyat berhak mendapat kehidupan yang lebih baik.

"Ikhtiar bersama ini perlu dijadikan kenyataan demi mengembalikan negara di atas jalan demokrasi yang tulen.

"Kita masih belum terlambat untuk melakukan perubahan. Seperti mana Tan Sri Muhyiddin, hasrat dan cita-cita rakyat juga untuk merealisasikan sebuah Kerajaan yang adil, amanah dan jujur. Ayuh, jangan menoleh lagi. Kita harus bersatu demi perubahan," katanya.
 

Hisham terperangkap ?

Hishammuddin nafi buat keputusan gantung Muhyiddin
Hishammuddin Tun Hussein
Hishammuddin. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

KUALA SELANGOR - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menyangkal dakwaan Timbalan Ketua Umno Bahagian Pagoh bahawa beliau bertanggungjawab membuat keputusan menggantung jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden parti.

Beliau berkata sebaliknya, keputusan itu dibuat secara bersama oleh semua anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno dengan bersandarkan kepada pendirian parti.

"Pada mesyuarat MT Umno semalam, kebetulan Presiden dan Naib Presiden pertama mengecualikan diri...maka saya yang paling senior untuk mempengerusikannya (mesyuarat).

"Saya nak sahkan di sini bahawa keputusan mesyuarat dibuat selepas berbincang secara terperinci dan ia dibuat secara konsesus melibatkan semua anggota MT Umno termasuk dari Johor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Ketua Umno Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed yang membidasnya dan beberapa pemimpin Johor lain kerana menyokong keputusan MT Umno menggantung jawatan Muhyiddin.   

"Tiada sebab kita nak tuding jari kepada mana-mana pihak...kita lakukan ini dengan harapan memikirkan hala tuju parti untuk berhadapan situasi buruk atau baik sebagai satu pasukan.

"Sememangnya, keputusan semalam tidak boleh puaskan hati semua pihak. Tugas dan tanggungjawab Timbalan Presiden selain bantu parti adalah bantu Presiden...bila tidak dapat bantu, kita terpaksa gantung dan keputusan itu adalah wajar dan adil," jelas Hishammuddin.

Semasa bermesyuarat di Kuala Lumpur semalam, MT Umno sebulat suara memutuskan untuk menggantung jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden parti berkuat kuasa serta-merta.

Berikutan keputusan itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden parti. - Bernama

JAWAPAN UNTUK SELAMATKAN DIRI


Umno Johor bakal berdepan cabaran besar
Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin

JOHOR BAHRU - Umno Johor mengakui bakal berdepan cabaran besar susulan penggantungan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden oleh Majlis Tertinggi Umno, semalam.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyeru semua ahli parti di peringkat negeri agar bekerja keras dan mengambilkira keutamaan parti.

"Saya dah cakap keputusan itu (penggantungan) akan ada yang setuju dan ada yang tidak gembira termasuk di Johor.

"Saya akui bahawa kita di Johor akan berdepan cabaran besar dan kita perlu meletakkan keutamaan (parti) dan bekerja keras," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Angkat Sumpah Ke-43 Gabungan Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Malaysia dan Sambutan Tahun Baru Cina di Pusat Konvensyen Danga Bay di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai ketetapan Umno Bahagian Pagoh yang menolak keputusan penggantungan itu, Mohamed Khaled menyerahkan perkara berkenaan kepada Umno Pusat.

"Saya belum melihat perkara itu secara rasmi. Tetapi soal mereka menerima atau menolak saya percaya itu urusan Umno Pusat dan bukan dihantar ke Umno Johor.

"Perkara ini dibawah Umno Pusat jadi saya percaya Umno Pusat akan melihat perkara ini dengan sebaik mungkin," katanya.

Sebelum itu, Setiausaha Umno Bahagian Pagoh, Asraf Mokhtar mengumumkan keputusan Umno Bahagian Pagoh menolak penggantungan Majlis Tertinggi terhadap Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden dan mendakwa tindakan itu tidak mematuhi prosedur parti.

KENYATAAN MUHYIDDIN PERLU DINILAI

Digugurkan jawatan, saya tidak akan merayu kata Muhyiddin
Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin meluahkan rasa marah dan terkilan ketika diminta mengulas isu kebocoran kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Vientiane hari ini. - Foto Bernama
 
SHAH ALAM - Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menegaskan beliau tidak akan merayu terhadap keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno, menggantung jawatannya selaku Timbalan Presiden parti itu.

Katanya, walaupun beliau mempertikai cara MT membuat keputusan kepadanya, namun beliau tidak akan 'melutut' bagi mengembalikan semula jawatannya sehingga pemilihan Umno akan datang.

"...Malah MT juga tidak mengikut prosedur tatatertib. Saya tidak diberikan surat tunjuk sebab dan tempoh masa untuk membela diri.

"Saya tidak dihadapkan ke Lembaga Disiplin untuk membolehkan lembaga membuat perakuan kepada MT.

"Ahli biasa pun diberikan peluang untuk membela diri sedangkan saya terus dihukum. Nampaknya MT tidak sabar-sabar untuk menggantung saya. Bagaimanapun, saya tidak akan merayu," kata Muhyiddn dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi Facebook rasminya hari ini.

Semalam, MT Umno sebulat suara memutuskan penggantungan jawatan Muhyiddin sebagai timbalan presiden parti, berkuat kuasa serta-merta.

Jawatan itu kini dipangku oleh Naib Presiden Unmo, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliau akan menjalankan tugas-tugas timbalan presiden.

GILIRAN MAADHIR PULAK ?


Kertas siasatan terhadap Tun M sedang dilengkapkan
Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
 
KUALA LUMPUR - Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya pada 5 Februari lalu yang didakwa berunsur fitnah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, apabila selesai kelak, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk diteliti.

"Tanggungjawab polis adalah untuk siasat kenyataan yang dibuat (oleh Dr Mahathir) dan dapatkan kenyataan daripadanya... ia telah dilakukan.

"Kita akan teliti dan lengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada DPP untuk keputusan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Perbincangan Meja Bulat Mengenai Punca Utama Jenayah anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan selepas polis mengambil keterangan Dr Mahathir baru-baru ini.

Pada 24 Februari lalu, polis merakam percakapan Dr Mahathir di Putrajaya berhubung kenyataannya itu. - Bernama
free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.