25 Disember 2012
KOTA BHARU - Sultan Kelantan Sultan Muhammad V hari ini bertitah
meminta umat Islam supaya saling menghormati dan mengelak daripada
sengketa berpanjangan.
Baginda bertitah dalam menonjolkan kebaikan dan keindahan Islam, jangan
sampai agama itu ditempelak dek perbuatan yang boleh memalukan dan
mencemarkan imej Islam itu sendiri.
Sultan Kelantan menarik perhatian umat Islam masih dibelenggu sengketa dan perbalahan yang seolah-olah tiada penghujungnya.
"Beta berharap semua pihak menyedari betapa tingginya kerinduan umat
Islam kepada kedamaian dan kerukunan dan betapa kecewanya bila merasa
tenaga dan kekuatan umat habis tercurah dalam sengketa, peperangan
sesama sendiri," titah baginda pada Majlis Perasmian 100 Tahun Majlis
Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di sini hari ini.
Teks ucapan baginda dibacakan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra.
Sultan Kelantan bertitah walaupun baginda akur dengan kebebasan
bertindak berdasarkan amalan demokrasi, namun masyarakat Islam dan
bangsa Melayu perlu mempunyai dan menjaga disiplin, tata cara hidup,
tata susila serta adat istiadat Melayu, terutama berkaitan kehidupan
beragama.
"Dengan disiplin dan tata cara hidup beragamalah pada suatu masa dahulu
bangsa kita pernah menjadi bangsa besar di rantau ini dan agama Islam
menjadi asas yang kukuh kepada pembinaan tamadunnya," titah baginda.
Selain itu, baginda berjanji akan memberi perhatian sewajarnya kepada
kemajuan dan perkembangan Maik sesuai dengan kedudukannya sebagai
institusi yang memikul amanah menjaga kepentingan Islam dan adat
istiadat Melayu di Kelantan.
Baginda turut memuji usaha yang dilakukan Maik dalam memartabatkan
penggunaan tulisan jawi, sekali gus menyarankan supaya ia dapat
dimartabat dan dikekalkan penggunaannya.
Pada majlis itu, Tengku Muhammad Fa-iz Petra berkenan melancarkan buku
bertajuk 'Puri Kencana' yang menyingkap kecemerlangan satu abad Maik
sebagai majlis agama Islam tertua di negara ini.
Selain itu, Tengku Muhammad Fa-iz Petra turut berkenan melancarkan
gimik pelancaran kapsul masa Maik mengandungi sepucuk surat yang akan
dibaca 100 tahun lagi. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment