Pekida akan terus pertahankan kedaulatan bangsa Melayu dan agama Islam
Tuesday, 25 December 2012 Super Admin
(Bernama)
- Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) akan terus
mempertahankan kedaulatan bangsa Melayu, agama Islam dan tanah air
daripada dirosakkan oleh mana-mana pihak, kata Presidennya Jamaludin
Yusof.
Beliau berkata sebagai sebuah pertubuhan yang diwujudkan atas dasar
Melayu dan Islam, sudah pasti kedua-dua dasar berkenaan menjadi
pegangan utama dan akan diperjuangkan sampai bila-bila.
“Pekida
mempunyai misi dan visi tersendiri iaitu menegakkan Islam dan
memastikan bangsa Melayu terus menjadi tunjang negara. Kita akan terus
mempertahankan agama, bangsa dan negara walaupun terpaksa berjuang
hingga ke titisan terakhir.
“Justeru kita sebagai anggota
(Pekida), kita mempunyai tugas yang berat untuk pastikan kestabilan
politik negara dikekalkan supaya negara akan terus aman dan damai,”
katanya semasa berucap pada Mesyuarat Agung Pekida Malaysia ke-18 yang
dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, di sini
hari ini.
Jamaludin berkata sehingga kini keanggotaan Pekida
sudah menjangkau kira-kira 300,000 orang dan jumlah itu sangat penting
dalam menguatkan pertubuhan itu dalam memperjuangkan matlamat
penubuhannya.
“Pekida mempunyai anggota yang ramai dan kita
sedang mencari formula bagaimana untuk menyatukan kesemua anggota
supaya perjuangan kita mencapai matlamatnya.
“Kita tidak mahu
satu hari nanti kita terpaksa menangis di belakang pintu disebabkan
oleh kegagalan kita untuk mempertahankan bangsa, agama dan negara kita
sendiri,” katanya.
Jamaludin turut menyeru semua anggota
pertubuhan itu agar terus menyokong kerajaan sedia ada yang sudah
terbukti banyak membantu membangunkan syiar Islam selain mempertahankan
keistimewaan orang Melayu sejak negara merdeka hingga kini.
“Hanya
kerajaan yang ada sekarang ini akan terus memberikan kemakmuran,
kesejahteraan dan kebajikan kepada rakyat. Jadi, saya minta semua
anggota Pekida agar terus menyokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib
Tun Razak sekarang ini agar semua yang diperoleh sekarang ini
berterusan untuk anak cucu kita,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment