Kelantan labur RM1 juta ambil 3 pemain baru
19 Februari 2013
KELANTAN membayangkan bakal menggunakan tiga khidmat pemain baharu
apabila jendela pendaftaran pemain dibuka pada awal April nanti, dan
dengan itu tiga pemain yang sedang beraksi bersama pasukan tersebut
bakal digugurkan.
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa
hanya berkata 'tiga pemain baru tersebut pernah wakili negara
masing-masing'.
Bagaimanapun beliau tidak menyebut pemain mana yang bakal digugurkan
dan yang akan terus bersama pasukan tersebut pada musim ini.
Katanya, tindakan itu diambil kerana persatuan itu memandang serius
prestasi semasa The Red Warriors yang ketika ini menduduki tangga
kelapan saingan Liga, yang sekali gus mengundang persepsi negatif
peminat sukan negeri ini terhadap pasukan tersebut.
"Kita tak akan berpeluk tubuh dengan situasi semasa pasukan yang
sedikit merudum pada awal saingan Liga Super musim ini walaupun
jurulatih telah cuba beberapa perkara untuk meningkatkan prestasi
pasukan," katanya kepada pemberita pada majlis penajaan kereta oleh
syarikat Secretleaf kepada Kada di Kota Bharu, hari ini.
Turut hadir Pengarah Urusan Secretleaf, Amir Ramadzan Ibrahim.
Pada majlis itu Secretleaf dengan kerjasama Kafa turut melancarkan
peraduan 'Beli dan Bola' di mana dua pemenang bertuah bakal menyaksikan
perlawanan bola sepak kejohanan Piala Konfederasi Asia (AFC) antara
Kelantan dan Shb Da Nang di Stadium Chi Lang, Danang, Vietnam pada 10
April depan.
"Ini bermaksud kami perlu menukar pemain atau membuat pelaburan untuk
mengambil pemain baharu, dan kita perlu sekurang-kurangnya RM1 juta
untuk mengubati perkara ini," katanya.
Annuar berkata, penukaran tiga pemain untuk diserap pemain baharu itu
bukan kerana prestasi mereka tidak berada di tahap yang sepatutnya, tapi
untuk kepentingan pasukan.
"Kita ada kira-kira 10 perlawanan lagi, iaitu lima perlawanan dalam
saingan Liga Super, tiga perlawanan Piala FA serta dua perlawanan dalam
AFC. Kita akui pasukan kita sekarang adalah pasukan OKU (orang kurang
upaya).
"Bagaimanapun Kafa masih memberi peluang kepada pemain sedia ada untuk
memberi persembahan terbaik kerana ia masih hak mereka sebelum jendela
pendaftaran dibuka pada April depan," katanya.
Juara treble, Kelantan berdepan krisis getir pada awal musim ini
selepas kehilangan tiga tonggak utamanya di bahagian serangan dan sayap,
iaitu Norshahrul Idlan Talaha, Nurul Azwan Roya dan Mohammad Ghaddar
nyata memberi tekanan hebat kepada The Red Warriors untuk melahirkan
pemain berbakat di bahagian tersebut. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment