• Dikejar 24 bot nelayan asing Sebuah bot nelayan asing terbakar akibat terkena bom petrol yang dilontar nelayan tempatan.
1 / 1
KUANTAN - Hampir 500 nelayan pukat jerut tempatan bersama 21 bot terpaksa melarikan diri selepas dikejar 24 bot pukat tunda nelayan asing ketika keluar secara beramai-ramai untuk meninjau kerosakan unjang dan rumah ikan di kawasan kira-kira 44 batu nautika dari perairan Kuantan, semalam.

Dalam usaha menghalang bot nelayan itu terus mara mengejar mereka, sebutir bom petrol dilontar dan mengenai salah sebuah bot nelayan asing hingga terbakar.

Cubaan mereka menghalang kemaraan bot-bot tersebut berjaya apabila ada beberapa bot nelayan asing itu terkandas selepas kipas bot mereka tersangkut pada tali dan pukat yang dicampak nelayan tempatan terbabit.

Insiden kira-kira jam 10 pagi itu menimbulkan kebimbangan nelayan tempatan kerana mereka turut diancam menggunakan senjata bahaya termasuk senjata api.

Geram dan kecewa dengan gangguan serta ancaman bot nelayan Vietnam itu, kesemua nelayan bersama bot berlabuh di Jeti Taman Esplanade Tanjung Api sebelum mengadakan piket secara aman.

Piket berlangsung kira-kira jam 5 petang itu turut disertai ratusan nelayan tempatan yang hadir beri sokongan dan  desakan supaya kerajaan mengambil perhatian serius berhubung kejadian tersebut.

Seorang pemilik bot tempatan, Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, nasib nelayan tempatan kian terhimpit kerana masalah bot nelayan yang menggunakan permit terpakai itu berlarutan seperti tiada kesudahan.

Sebelum ini, hasil tangkapan nelayan merosot akibat kegiatan menunda pukat tunda gading yang diharamkan oleh bot Vietnam terbabit.

“Mereka bukan sahaja memusnahkan sumber ikan di perairan ini, malah segala unjang, rumah ikan dan bubu nelayan tempatan turut dimusnahkan,” katanya.

Abdul Rahim berkata, mereka tiada pilihan lain jika pihak kerajaan tidak mengatasi masalah itu, kemungkinan nelayan di sini tidak akan ke laut kerana bimbang keselamatan akibat ancaman bot nelayan asing terbabit.

Menceritakan kembali kejadian di tengah laut pagi semalam, salah seorang nelayan, Zakaria Daud berkata, mereka turun ke kawasan itu beramai-ramai menaiki 21 buah bot pukat jerut pelbagai saiz.

“Ketika kami sampai, kelihatan lapan bot nelayan asing itu sedang menunda pukat lalu kami mendekati mereka dan memberi amaran supaya keluar dari kawasan tersebut.

“Mereka langsung tidak mengendahkan sebaliknya salah seorang awak-awak mereka  menembak ke udara sebagai tanda amaran,” katanya.

Menurutnya, mereka cuba bertahan namun kira-kira setengah jam kemudian, 16 lagi bot pukat tunda nelayan asing dari kawasan lain ke situ dan terus merapati dan cuba menghalau mereka semua.

“Kami tiada pilihan lain kecuali melarikan diri kerana bot mereka jauh lebih besar dan kita juga bimbang mereka bertindak di luar batasan.

“Kami terpaksa melontar bom petrol sebagai amaran supaya mereka tidak terus mengejar dan mengenai sebuah bot mereka hingga terbakar, namun kerosakan tidak terlalu serius,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Persatuan Nelayan Pahang, Saudi Mahusin berkata, kejadian dihadapi nelayan semalam amat mendukacitakan.

“Kita akan desak kerajaan termasuk pihak berkuasa berkaitan agar ambil tindakan segera dan tidak berkompromi dengan mereka yang kini jelas semakin berani mencabar dan mengancam nelayan tempatan,” katanya.