Produk keluaran kilang Cadbury Malaysia halal
SHAH ALAM – Cadbury Confectionery Malaysia hari ini menegaskan bahawa
semua produk coklat yang dibuat dan dijual di Malaysia adalah halal.
Pengarah Urusannya Sunil Sethi berkata, pengesahan itu diperolehi
selepas keputusan ujian makmal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
semalam mendapati dua produk coklatnya itu bebas daripada DNA babi yang
sebelum ini ditemui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Setelah beroperasi di Malaysia selama lebih 40 tahun, tiada yang lebih penting selain daripada kepercayaan pengguna kami.
“Kami akan menjadikan insiden malang itu sebagai peringatan dan
pengajaran malah kami berterima kasih kepada pihak berkuasa yang telah
meredakan keadaan serta kemarahan pengguna dengan keputusan ujian
tersebut,” katanya memetik kenyataan medianya, hari ini.
Pada 24 Mei lalu, Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya mengesahkan
dua produk Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu
dengan Kacang Hazel mengandungi DNA babi (porcine) dalam satu analisis
kajian di makmalnya.
Bagaimanapun Jakim pada 26 Mei lalu pula bertindak menghantar sampel
dua coklat terbabit yang diambil dari kilang Cadbury dan terus dihantar
ke makmal di ibu pejabat Jabatan Kimia di Petaling Jaya untuk diuji
kandungannya.
Makmal itu telah akreditasikan Jakim untuk menguji DNA babi dan
keputusannya semalam mendapati dua produk coklat terbabit bebas daripada
DNA babi dan halal dimakan umat Islam.
Mengulas lanjut, Sunil menegaskan kesemua produk keluaran kilang
Cadbury di Malaysia adalah halal dan sentiasa mematuhi garis panduan
halal Jakim.
Malah katanya pihak tidak pernah berkompromi tentang isu halal yang sangat sinonim dengan umat Islam di negara ini.
“Kita telah menubuhkan Jawatankuasa Halal Negeri dan ia telah disahkan
pada 2004 untuk menunjukkan komitmen kami ke arah patuh halal dan
kakitangan kami juga dilatih mengikut keperluan dalam pensijilan itu,”
katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment