Pemuda Umno pelawa Dyana Sofya
IPOH - Pemuda Umno hari ini mempelawa calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil
(PRK) Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud menyertai Umno bagi
menyumbang idea dan tenaga untuk kepentingan anak muda di negara ini.
Perkara itu dinyatakan sendiri, Exco Pemuda Umno, Syamsul Baharin Putra
Ahmad Shibi selepas melihat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
menyalahkan Dyana Sofya atas kekalahan mereka mempertahankan kawasan
Parlimen Teluk Intan.
"Selepas beberapa hari PRK Parlimen Teluk Intan tamat, masih ramai yang
memperkatakan mengenai kehadiran seorang gadis yang tampak biasa tetapi
penuh bersemangat sebagai calon yang mewakili DAP.
"Malangnya, Guan Eng dengan angkuh telah memberi pandangan bahawa
kekalahan Dyana Sofya adalah disebabkan ciri-ciri dirinya yang masih
muda, seorang wanita dan seorang Melayu," katanya dalam satu kenyataan
media.
Syamsul Baharin yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Ipoh Barat
berkata, dia sendiri tertarik dengan penulisan Dyana Sofya bertajuk
'Satu Jam Bersama Obama', yang menyatakan anak muda harus mencari
platform dengan melibatkan diri bersama kumpulan yang menghargai bakat
dan usaha.
Katanya, pelawaan itu dibuat agar ciri-ciri yang ada pada Setiausaha
Politik Ahli Parlimen Gelang Patah itu dapat digunakan secara optimum
demi 'survival' anak-anak muda Malaysia.
"Semangatnya ketika mengharungi cabaran PRK cukup mengagumkan walaupun
diperlekehkan oleh kepimpinan dan ahli-ahli DAP umumnya yang berbangsa
Cina. Oleh itu silalah meneruskan perjuangan di tempat asalmu dan tempat
ayahanda dan bondamu wahai saudari Dyana.
"Kami sentiasa menerimamu dalam Umno Bahagian Ipoh Barat kerana Umno
sahajalah parti keramat Melayu yang memperjuangkan nasib bangsa melayu
dan bangsa-bangsa lain di Malaysia, melalui BN," katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment