Siapa yang memecah-belahkan parti?
KOTA BHARU - Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah menyelar
tindakan pemimpin Harapan Baru yang mendakwa barisan kepemimpinan baharu
Pas yang dipilih pada Muktamar Pas ke-61 lalu gagal mengukuhkan
perpaduan dalam parti Islam itu.
Mohd Amar juga mempersoalkan ‘siapakah’ sebenarnya yang memulakan
langkah untuk menubuhkan parti baharu, termasuklah mengadakan jelajah
mengkritik dan menyerang pemimpin dan parti sendiri selepas muktamar
tersebut.
“Adakah itu cara sebenarnya untuk mengukuhkan perpaduan?’,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang
mendakwa barisan kepimpinan baharu Pas yang dipilih pada muktamar lalu
gagal mengukuhkan perpaduan dalam parti.
Khalid yang juga bekas pemimpin kanan Pas mendakwa, jika Pas masih
berpegang kepada asas perjuangan yang diletakkan oleh kepimpinan lama
parti, usaha untuk menjatuhkan Umno dan BN dalam pilihan raya sepatutnya
dijadikan keutamaan.
Sementara itu, penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff ketika
diminta mengulas isu sama berkata, usaha memupuk perpaduan dalam parti
selepas berakhirnya pemilihan tidak boleh diletakkan di atas bahu pucuk
pimpinan yang menang semata-mata.
Menurutnya, selaku pemenang, mereka yang berkuasa sekarang berhak
melantik sesiapa sahaja ke dalam jawatan lantikan parti dan ia telah
diperuntukkan dalam Perlembagaan Pas.
“Disebabkan pemilihan Pas baru-baru ini melibatkan tentangan dalam
pendekatan berpolitik, maka sudah tentu pihak yang menang akan
mengutamakan mereka yang berkongsi pendekatan berpolitik sama untuk
mengisi jawatan lantikan.
“Apatah lagi kerana terlalu ramai bekas pemimpin Pas yang mengalami
kekalahan, maka adalah mustahil untuk pemimpin Pas sekarang melantik
kesemua mereka untuk jawatan lantikan yang bilangannya cukup terhad,”
katanya.
Dr Kamarul berkata, punca utama perpecahan dalam Pas sekarang ialah
kerana pihak yang kalah hingga sekarang enggan menerima hakikat
kekalahan berikutan merasakan mereka lebih baik daripada pihak yang
menang.
2 orang berkata:
Dah habis modal fitnah dan penghinaan? Maka mula pula modal salah menyalahkan, sampai bila nak selesai. Buatlah perjumpaan secara tertutup dan berbincang secara profesional. Jangan jadikan media sebagai medan perbincangan terbuka dan jangan nak jadi glamour. Semoga Allah kurniakan kesedaran dan keinsafan akhirnya 'kiambang kembali bertaut'.
Patutlah Geng Mat Sabu kalah, sebab mereka suka menyalahkan orang lain apabila cita2 dan hasrat mereka tidak dapat sambutan.Kalau kalah dalam pemilihan pun dah tak tahan emosi sambil merajuk, janganlah dabik dada ingat kamu handal. Orang meluat dengan akhlak begitu. Tambah lagi orang meluat dengan perangai tidak mahu berundur secara hormat dari Pas. Kenapa masih makan elaun hasil titik peluh jamaah Pas? Kalau betul2 anak jantan dan rasa diri hebat, letak jawatan dan bertanding semula sabagai calon parti lain.
Post a Comment