Ketua Umno Cawangan Jalan Badlishah, Merbok, Mejar Anwar Abd Hamid berkata, beliau banyak menerima luahan hati ahli akar umbi yang marah dengan kepimpinan termasuk dari kalangan orang muda hingga mahu meninggalkan parti.

"Memang ada, ramai (nak keluar parti) tapi kita minta mereka tunggu sat. Sabarlah. Kita sayang pada parti. Kita ada mesyuarat agung akan datang tak lama lagi, kita selesai cara elok mengikut Perlembagaan parti. Kita berhak membuat usul di peringkat cawangan.

"Kalau boleh, hadirlah mesyuarat. Tapi saya bimbang juga sebab ada yang kata nak boikot mesyuarat. Saya pun tak boleh buat apa, tak boleh kawal," katanya kepada Sinar Online.

Beliau berkata demikian ketika ditanya situasi cawangannya susulan pengumuman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meninggalkan Umno kali kedua sebagai tanda protes kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut, beliau berkata, insiden yang berlaku di Stadium Darul Aman, kelmarin juga tidak dapat disekat ketika perlawanan Kedah dengan Kelantan di mana Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang baharu telah 'diboo' penyokong negeri berkenaan.

"Kita (Umno) yang buat, jadi, kena terima hakikatlah rakyat marah. Di Kedah ini, pengundi atas pagar ramai dan mereka boleh ‘swing’.

"Buktinya pada 2013, mereka beri kemenangan pada BN. Di Merbok, BN tidak pernah kalah sejak zaman Tun Daim (Zainuddin) tapi tahun 2008, kita kena. Di Sungai Petani juga begitu.

"Jangan bagi rakyat marah. Akar umbi di Kedah cukup pelik...mereka tak peduli apa, tiada sentimen. Dia (rakyat) rasa nak beri balik, mereka beri balik. Buktinya 2013. Kita diberi balik kuasa. Ini yang kami nampak tapi yang di atas tak nampak ini semua," katanya yang akui sedih dengan suasana terkini dalam parti itu.

Sementara Ketua Umno Cawangan Teluk Ramunia, Pengerang, Roslan Ramli berkata, suasana 'bisu' menyelubungi cawangannya meskipun Dr Mahathir mengumumkan keluar parti dan tindakan penggantungan jawatan ke atas bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Perkara seperti ini kadang-kadang kita buat macam mana pun, keputusan pada Perdana Menteri. Jadi, sekarang ini orang kampung pun dah lemah. Mereka tak marah. Lemah ini bahaya kerana mereka hanya menunggu waktu pilihanraya.

"Tun Mahathir keluar parti, Tan Sri Muhyiddin digantung pun mereka tak kisah juga tapi yang buat tak kisah ini yang bahaya. Mereka diam, tak cakap apa. Paling bahaya sekarang adalah generasi muda," katanya.

Susulan mesyuarat agung parti yang bakal berlangsung di semua cawangan dan bahagian tidak lama lagi, Roslan akui saat itu akan memeningkan kepala ketua-ketua cawangan.

"Adakah cukup kuorum untuk mesyuarat? Kalau kawasan kecil-kecil tak apa tapi kalau untuk cawangan besar seperti felda, nak kena ada berapa ratus ahli datang mesyuarat, mana orang nak datang.

"Kalau (ahli) datang pun ‘dibelasahnya’ ketua cawangan...memang ‘biru’ muka ketua cawangan. Kita (saya) ini bercakap cara kampung...memang betul-betul cara kampung yang menghadap dengan pengundi di bawah," katanya.

Menurutnya, sebagai pemimpin cawangan, setiap hari beliau terpaksa berdepan dengan kemarahan dan sindiran rakyat.

"Sampai kami ini nak pergi minum kopi pun tak boleh. Di warung pun kami kena ‘serang’. Mereka di pejabat memang tak nampak, tapi kami yang duduk di warung, setiap hari menghadap kemarahan rakyat.

"Cawangan saya 400 orang tapi baru menghadap seorang saja pun sudah letih. Ketua Bahagian kita memang bagus, buat kerja tapi mereka tidak bercakap ketika Ketua Bahagian datang," katanya.

Meletakkan dirinya sebagai Presiden Umno, beliau berkata, beliau tidak akan sesekali 'membuang' pemimpin-pemimpin tersebut.

"Tunggu pilihan raya sahaja. Sebab Datuk Seri Najib tidak boleh kalah...memang boleh menang. Tapi apabila kita buang, maknanya macam kita degil. Kita selaku ketua, kita degil. Tak berkenan, kita buang.

"Sedangkan bukan semua orang suka Tan Sri Muhyiddin dan Tun Mahathir pun. Tapi soalnya sekarang ini, lagi panjang (isu), lagi penat kita nak bercakap," katanya.

Namun, Ketua Wanita Umno Ayer Hitam, Rahemah Idris menafikan ada mana-mana ahlinya yang mengadu untuk keluar parti.

"Tidak ada apa-apa. Kami pun tidak ada respons apa-apa kerana kami semua bekerja untuk parti bukan untuk individu.

"Jadi, tidak adalah yang ikut-ikut. Semuanya OK," katanya.

Sebelum penggantungan Muhyiddin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir terpaksa meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah selepas hilang sokongan majoriti di Dun Kedah dan dilucutkan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kedah.