Deklarasi Rakyat: Penjenamaan semula pembangkang
IPOH - Umno Perak memandang serius tindakan bekas Perdana Menteri, Tun
Dr Mahathir Mohamad dan beberapa tokoh Umno yang menandatangani dokumen
Deklarasi Rakyat.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tindakan beberapa
pemimpin yang menandatangai deklarasi itu jelas bukan untuk
kesejahteraan negara sebaliknya penjenamaan semula gerakan politik
pembangkang untuk memberi imej buruk kepada pemerintah dan menanam
kebencian rakyat terhadap kerajaan.
"Walau apa pun justifikasi diberikan, yang jelas Dr Mahathir telah
hilang pertimbangan kerana luapan amarahnya terhadap Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Abd Razak. Ibarat marahkan nyamuk kelambu dibakar,
tindakan beliau bukan sahaja menyasarkan perdana menteri tetapi
sebenarnya terperangkap dengan cubaan menjejaskan iklim politik dalam
negara.
"Menanggapi kerjasama Dr Mahathir dan parti-parti politik pembangkang
serta pertubuhan bukan kerajaan yang memang selama ini menjadi
jurubicara pembangkang, Umno Negeri Perak menyeru supaya ahli-ahli parti
di negeri ini khususnya, tidak hilang fokus terhadap strategi
pembangkang," katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan
Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Sidang Dewan Belia Perak 2016/2017 di
Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.
Zambry berkata, pembangkang akan menggunakan apa sahaja helah termasuk
berbaik dengan Dr Mahathir yang selama ini menjadi musuh nombor satu
mereka untuk menggugat kekuatan Umno dan BN.
Menurutnya, Umno Perak sedia berdepan gerakan politik itu serta akan
terus memantapkan gerakan parti dalam memastikan mandat yang diberikan
rakyat kepada BN.
"Umno Negeri Perak bersama-sama dengan kepimpinan YAB perdana menteri
akan memastikan aku janji kepada rakyat ditunaikan dan kesejahteraan
rakyat diberikan keutamaan. Kesatuan dan perpaduan dalaman parti di
negeri Perak akan terus diperkukuhkan demi menjamin kerajaan yang
dipilih oleh rakyat tidak terancam dengan tindakan anarkis mana-mana
pihak.
"Kepada ALLAH dipohon agar negara dan negeri ini terus dilindungi
daripada tindakan-tindakan yang boleh mengundang huru hara dan bencana,
permusuhan dan persengketaan," katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment