Zaman Khan nafi tandatangan deklarasi singkir PM
KUALA LUMPUR - Pengerusi Biro Integriti Majlis Perundingan Melayu (MPM)
Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim Khan menafikan sekeras-kerasnya
menandatangani deklarasi menyokong penyingkiran Datuk Seri Najib Tun
Razak sebagai Perdana Menteri.
Beliau melahirkan rasa terkejut apabila mendapati namanya tersenarai
antara mereka yang menandatangani deklarasi tersebut, yang disiarkan
media.
"Untuk mengatakan saya berpihak kepada mereka yang menandatangani
deklarasi itu dan akan berarak menentang kerajaan, saya menafikan
sekeras-kerasnya...saya tidak terlibat," katanya kepada Bernama di sini,
hari ini.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia itu ditemui di Pusat
Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia kerana sedang mendapatkan
rawatan akibat pendarahan dalam perut sejak Isnin lepas.
Mengulas lanjut, Mohd Zaman Khan, 73, berkata beliau dimaklumkan
namanya tersenarai dalam deklarasi tersebut oleh Presiden Perkasa.
Mohd Zaman Khan berkata beliau menemui Ibrahim beberapa hari lepas yang melawatnya di pusat perubatan berkenaan.
Namun katanya mereka berbual tentang masalah kesihatannya dan tidak
langsung menyentuh mengenai isu menyokong penyingkiran Najib.
Semalam, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai
kumpulan lebih 50 orang - termasuk Lim Kit Siang daripada DAP dan
Menteri Besar Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR - dalam
memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana
menteri.
Penandatangan lain termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun
Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment