PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed mengakui pelbagai ancaman diterima oleh penyokong Deklarasi Rakyat sekiranya mereka menurunkan tandatangan bagi menyokong usaha untuk menurunkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, di sesetengah kawasan luar bandar, rakyat diancam dengan penarikan balik pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia(BR1M) sekiranya menurunkan tandatangan untuk menyokong deklarasi berkenaan.

"Penjawat awam juga menyatakan kebimbangan untun menurunkan tandatangan mereka, tetapi sejumlah daripada itu memberanikan diri untuk tampil dan menyokong serta menandatangan Deklarasi Rakyat ini," katanya ketika sidang media yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Dalam pada itu, Mahathir memaklumkan bahawa dalam usaha untuk mengumpulkan tandatangan, terdapat propaganda dan putar belit yang dimainkan oleh pihak Najib untuk mempengaruhi rakyat supaya menolak sokongan terhadap Deklarasi Rakyat dengan mengguna strategi pecah dan perintah, perkauman serta menuduh pergerakkan ini sebagai gerakan haram untuk menumbangkan kerajaan.

Beliau berkata, taktik tersebut nyata gagal dan kebanyakkan rakyat tahu bahawa gerakan ini bukan bermotifkan politik dan hanya mewakili rakyat yang tersiri daripada pelbagai kaum, agama dan kecedenrungan politik serta tidak mewakili agenda peribadi sesiapa.

"Usaha untuk memaparkan gerakan ini sebagai usaha untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi juga gagal kerana objektifnya adalah untuk menuntut Najib untuk meletak jawatan," katanya.