Pas pertaruh bekas calon PRU13 di Sungai Besar?
SUNGAI BESAR – Pas Kawasan Sungai Besar dijanga mempertaruhkan empat
nama kepada Majlis Syura Ulama sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat
memutuskan seorang calon yang bakal dipilih mewakili parti itu untuk
bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.
Antara nama yang disebut-sebut termasuklah bekas calon pada Pilihan
Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Mohamed Salleh M Husin yang hanya tewas
majoriti 399 undi kepada calon BN, Allahyarhamah, Datuk Noriah Kasnon.
Mohamed Salleh yang disapa ‘Cikgu Salleh’ adalah Timbalan Yang Dipertua
Pas Kawasan itu mempunyai pengaruhnya tersendiri, apatah lagi berjaya
mengurangkan majoriti undi yang diperoleh Timbalan Menteri Perusahaan,
Perladangan dan komoditi dalam PRU lalu.
Selain Mohamed Salleh, Pas juga bakal meletakkan calon pilihan parti
itu iaitu, Yang Dipertua Pas Kawasan Sungai Besar, Mohd Fadzin Taslimin
yang memimpin Pas kawasan itu sejak 25 tahun lalu.
Dua lagi calon yang turut disebut-sebut bakal menentang BN dalam PRK
Sungai Besar termasuklah Ketua Urusan Ulama Pas Kawasan Sungai Besar,
Nazri Sarbini dan Ketua Pemuda Pas Kawasan Sungai Besar, Muhammad Razali
Saari.
Bagaimanapun, cakap-cakap politik meramalkan Muhammad Razali yang juga
Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Sungai Panjang antara nama
popular dan sesuai bertanding di kerusi berkenaan.
PRK Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk
Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan
Komoditi dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
Turut terkorban dalam insiden itu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
0 orang berkata:
Post a Comment