Safee terkejut dalam keretanya ada pistol
JOHOR BAHRU - Pemain bola sepak JDT, Safee Sali mengakui terkejut
apabila dimaklumkan mengenai penemuan sepucuk pistol bersama 30 butir
peluru hidup ketika kereta pacuan empat roda (4WD) miliknya yang dipandu
pemilik kedai aksesori kenderaan ditahan dalam sekatan jalan raya,
semalam.
Safee berkata, dia dimaklumkan mengenai perkara itu pada petang semalam
dan telah memberi keterangan kepada pihak polis selain turut menegaskan
bahawa senjata api berkenaan bukan miliknya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Polis temui pistol dalam kereta Safee Sali]
"Saya terkejut apabila diberitahu mengenai penemuan pistol itu dalam
kereta saya dan diminta untuk beri keterangan bagi membantu siasatan.
"Kes ini masih dalam siasatan dan barang kes yang ditemui memang bukan
milik saya dan saya tiada kena mengena dengan suspek," katanya.
Katanya, beliau menghantar kenderaan miliknya jenis Ford Ranger di
sebuah kedai aksesori sebelum berangkat ke Kuala Lumpur bagi perlawanan
akhir Piala FA yang berlangsung pada Sabtu lalu.
"Sebelum ini saya menghantar kereta itu di sebuah kedai aksesori sebelum berangkat ke Kuala Lumpur.
"Ini kali pertama saya hantar kereta ke kedai itu dan saya datang ke
sana sebagai pelanggan dan langsung tidak mengenali suspek. Sepatutnya
saya ambil semula kereta itu pada hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah
Johor Bahru Utara selepas beliau memberi keterangan berhubung kes
berkenaan, petang tadi.
Katanya, kenderaannya masih ditahan sementara oleh pihak polis bagi tujuan pemeriksaan lanjut dan siasatan.
Sebelum itu, suspek berusia 34 tahun ditahan polis ketika sekatan jalan
raya berhampiran susur keluar Kempas Lebuhraya Utara Selatan selepas
menemui sebuah beg berwarna kuning berisi sepucuk pistol dan kotak
mengandungi 30 butir peluru hidup.
Suspek mendakwa menemui pistol dan peluru itu ketika memancing bersama
rakannya di Loji Air di Jalan Sungai Tiram-Pasir Gudang dan menyimpan
pistol dan peluru berkenaan di kedainya dengan alasan bagi melindungi
keselamatannya.
Suspek kini dalam tahanan reman polis bagi siasatan lanjut.
0 orang berkata:
Post a Comment