Kos Taman Tugu sangat tidak munasabah
SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
berkata kos Taman Tugu yang menelan belanja sebanyak RM650 juta sebagai
sesuatu yang terlalu tinggi dan tidak munasabah.
Abdul Khalid berkata, ini kerana melalui perbincangan bersama rakannya
yang arif mengenai perihal ini, mendapati bahawa kos itu melebihi
daripada apa yang sepatutnya.
"Saya telah menghubungi rakan lama, Datuk Ali Ahmad yang mempunyai
pengalaman luas 30 tahun dalam pembukaan dan pengurusan ladang di
Guthrie.
"Menurut anggaran paling tinggi berdasarkan pengalaman beliau, saya
difahamkan bahawa kos pembersihan dan perataan tanah, penanaman dan
penjagaan pokok kelapa sawit dari tunas hingga penuaian adalah sekitar
RM21 juta setiap 1,000 hektar atau hanya RM21,000 per hektar.
"Justeru, sekiranya sedikit ekstrapolasi dilakukan, dianggarkan kos
keseluruhan pembinaan taman hutan hujan sepatutnya tidaklah semahal mana
lebih-lebih lagi apabila kos tanah langsung tidak wujud, diberi
"percuma" oleh kerajaan pusat," katanya melalui kemas kini status
Facebook hari ini.
Oleh itu, ujarnya kerajaan wajar mendapatkan khidmat pihak yang
benar-benar arif dan profesional bagi membangunkan projek berkenaan,
selain mengadakan perbincangan secara terbuka dengan semua pihak
berkepentingan.
Abdul Khalid sebelum ini pernah mengetuai syarikat perladangan gergasi
dunia Guthrie dan Permodalan Nasional Berhad menjelaskan pengalaman
pahit akibat ketirisan, pembaziran dan salah guna dana awam wajib
dijadikan teladan.
"Kesilapan lalu tidak patut dibenarkan berulang sekiranya kita serius
mahu meningkatkan kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Pada 4 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam
ucapannya berkata, projek transformasi kawasan Tugu Negara kepada
taman rimba kota (Taman Tugu) adalah antara usaha ke arah menjadikan
Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia.
Projek seluas 26.7 hektar yang fasa pertamanya akan siap pada
pertengahan 2018, bertujuan menambah tempat beriadah untuk warga kota.
Ia merupakan projek tanggungjawab sosial korporat Khazanah Nasional
Berhad (Khazanah) dengan kerjasama beberapa kementerian serta syarikat
swasta.
Projek di atas tanah yang dianggarkan bernilai RM2.1 bilion itu menelan
kos RM650 juta yang 75 peratus atau RM500 juta dibiayai oleh
Khazanah.
Antara kemudahan yang disediakan setelah taman itu siap kelak ialah dek
pejalan kaki yang akan menghubungkan taman itu dengan KL Sentral.
0 orang berkata:
Post a Comment