RoS lulus secara prinsip permohonan PPBM
PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) hari ini secara
prinsip meluluskan permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dengan
akronim PPBM, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kelulusan rasmi
hanya akan diberikan selepas pihak PPBM memberi penjelasan berhubung
peranan dan fungsi presiden serta pengerusi parti itu kepada RoS.
Bercakap dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan
Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini, beliau berkata penggunaan
akronim PPBM bukan atas arahan RoS, sebaliknya atas permintaan parti itu
sendiri semasa mendaftarkan permohonan sebelum ini.
"Dalam permohonan awal, mereka mahu menggunakan nama panggilan parti
sebagai Bersatu tetapi selepas pihak RoS membuat semakan nama itu telah
banyak digunakan oleh parti dan pertubuhan lain.
"Selepas rundingan semula dibuat, pihak parti memohon meletakkan
akronim PPBM dan RoS meluluskannya seperti yang dipohon," katanya,
sambil menambah nama Bersatu telah digunakan oleh enam parti dan
pertubuhan setakat ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu diluluskan dengan singkatan PPBM]
Kelulusan itu juga membabitkan sedikit perubahan pada logo berbanding logo asal semasa permohonan dibuat, katanya.
Ahmad Zahid berkata beliau tidak campur tangan dalam kelulusan
permohonan tersebut serta menegaskan permohonan mana-mana parti atau
organisasi akan diluluskan jika mematuhi syarat-sayarat dalam Akta
Pertubuhan 1966.
Ditanya risiko PPBM sekiranya menggunakan nama Bersatu bagi
mempromosikan parti itu, Ahmad Zahid berkata mereka secara rasmi telah
melanggar perlembagaan parti tersebut.
"Sekiranya mereka masih menggunakan nama Bersatu tindakan pembatalan
pertubuhan itu boleh diambil RoS berdasarkan Akta Pertubuhan," katanya.
Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bulan lepas
menyerahkan permohonan bagi mendaftar sebuah parti baharu dikenali
sebagai Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu di RoS.
Hadir sama dalam sidang media itu Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi
Ibrahim dan Ketua Pengarah ROS Datuk Mohammad Razin Abdullah. - Bernama
1 orang berkata:
Guano mu dengki
Post a Comment