Pindaan Akta 355: Apa nak risau?
WACANA Sinar Harian ke-41 yang berlangsung petang
Isnin lalu, bertajuk ‘Pindaan Akta 355: Antara Realiti dan Persepsi’,
sesungguhnya antara siri wacana yang berjaya - merungkai persoalan dan
mendamaikan persengketaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, dua panel jemputan
ternyata tidak menghampakan memberi penerangan dengan bahasa yang cukup
mudah dan jelas untuk difahami.
Manakala dua panel lagi iaitu Gan Ping Sieu (Ketua Pasukan Perlaksanaan
Dasar dan Undang-undang Syariah, MCA Pusat) dan Dr Tan Seng Giaw (Ahli
Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat) turut menggunakan platform yang
diberikan untuk meluahkan perasaan terpendam oleh masyarakat bukan Islam
mengenai isu yang dibincangkan.
Tatkala parti-parti politik tanah air sedang bergolak dalam keadaan
bercelaru dan tidak tenteram, kehadiran keempat-empat panel yang
berlainan parti untuk sedia duduk berwacana secara ilmiah seharusnya
dipuji.
Topik ini pada peringkat awal dipercayai sensitif dan didakwa boleh
mencetuskan keadaan tegang dan 'panas' dalam dewan, semua panel ini
bagaimana pun ketika sama ada menyediakan jawapan mahupun melontarkan
persoalan, menunjukkan mereka adalah pemimpin politik yang berfikiran
matang dan tidak beremosi.
Terbukti Wacana Sinar kali ini, dengan dikendalikan Yang Dipertua
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr Yusri Mohamad sebagai
moderator mencipta kejayaan tersendiri yang tidak harus dinafikan oleh
mana-mana pihak.
Isu pindaan Akta 355 ini mula menjadi perhatian apabila Presiden Pas,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan usul atau notis bagi membawa
RUU Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) 1965 yang mampu memperluas bidang kuasa mahkamah syariah
terhadap pesalah jenayah di Dewan Rakyat, 26 Mei lalu.
Namun Abdul Hadi sendiri memohon untuk menangguhkan perbahasan usul tersebut ke sidang Dewan Rakyat bersidang 17 Oktober depan.
Apa yang menjadi kontroversi dan menimbulkan rasa tidak puas hati di
kalangan parti-parti bukan Islam ialah cadangan menangguhkan usul Hadi
itu dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina
Othman Said dan disokong pula oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk
Seri Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
RUU yang dibawa Abdul Hadi itu didakwa parti-parti bukan Islam sebagai
'jalan' untuk membenarkan pelaksanaan hukum hudud di negara kita. Semua
pemimpin parti komponen bukan Islam dalam BN memberikan kenyataan secara
terbuka bahawa mereka akan melepaskan jawatan dalam kerajaan sekiranya
RUU yang dibawa Presiden Pas itu diluluskan oleh Parlimen.
Begitu juga dengan DAP yang mendakwa BN dan Pas bekerjasama untuk
membentangkan usul tersebut bagi tujuan politik malahan mencabar MCA,
MIC, Gerakan dan parti-parti di Sabah dan Sarawak - untuk menyatakan
pendirian dan mencabar mereka meninggalkan BN.
Tanpa membiarkan pertikaian berlarutan tiada kesudahannya, antara Umno,
Pas dan parti-parti bukan Islam ini sebenarnya perlu mencari titik
persetujuan.
Di satu pihak, telah menjelaskan pindaan Akta 355 ini hanya ingin
memperkasakan mahkamah syariah dan tidak ada kena mengena dengan bukan
Islam; satu pihak pula tetap berpendirian tegas bahawa sekiranya pindaan
Akta 355 ini diluluskan, hukum hudud akan menyusul tiba.
Disaksikan oleh penonton dalam dewan dan melalui siaran lintas langsung
dibawa SinarTV, pastinya semua yakin dan percaya bahawa Wacana Sinar
Harian kali ini benar-benar menjawab segala kekusutan dalam akal fikiran
mereka.
Memang tidak dinafikan Umno dan Pas sudah boleh sekata dan sepakat atas
isu ini. Penghujahan yang bernas lagi berasas oleh Jamil Khir dan
disahut oleh Takiyuddin bersama fakta-fakta meyakinkan bahawa akta
pindaan ini tidak sedikit pun menyentuh golongan bukan Islam.
Di atas pentas, Ping Sieu, juga seorang pengamal undang-undang
berpengalaman pastinya akur dengan penjelasan yang diberikan oleh
kedua-dua pemimpin Umno dan Pas itu. Demikian juga dengan Dr Seng Giaw.
Melihat pada reaksinya, beliau nampaknya boleh pulang dengan perasaan
tenang.
Bagaimana pula dengan golongan bukan Islam yang lain? Terleraikah
kebimbangan yang tersimpul dalam lipatan fikiran mereka? Bagaimanakah
mereka dapat diyakini 100 peratus bahawa pindaan Akta 355 ini bukan
'pintu belakang' untuk hukum hudud?
Jamil Khir dan Takiyuddin telah berhujah dengan baik kerana mereka
ingin memberikan kefahaman jitu kepada rakyat bukan Islam. Jaminan
kedua-dua mereka mengenai pindaan ini hanya diguna pakai ke atas
orang-orang Islam seharusnya tidak perlu disangkal oleh semua pemimpin
parti dan NGO bukan Islam.
Namun demikian, kerjasama antara Umno dan Pas inilah yang dipertikaikan
oleh parti-parti bukan Islam dan seluruh masyarakat bukan Islam.
Mereka dakwa kenapa Umno dan Pas dilihat semakin hari semakin rapat
sehingga bersubahat melaksanakan hukum Islam dengan mengenakan ke atas
golongan bukan Islam?
Daripada membuat sangkaan yang bukan-bukan, golongan bukan Islam kini
hanya perlu menunggu masa menceritakan apakah Umno dan Pas benar-benar
tidak memperdayakan mereka.
Perjalanan masa sebenarnya juga mampu menentukan segala-galanya, sejauh
mana keikhlasan Umno dan Pas yang sanggup mengetepikan perbezaan
fahaman politik semata-mata untuk memastikan RUU persendirian ini
berjaya dibahaskan di Dewan Rakyat.
Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Pindaan Akta 355: Antara Realiti dan
Persepsi’ telah menjadi sejarah, tetapi segala fakta, kenyataan, hujah,
penjelasan dan jawapan diungkapkan semua ahli-ahli panel ini boleh
dikumpul dan menjadi rujukan yang bernilai.
Jadi, apa yang merisaukan golongan bukan Islam? Jika suatu hari nanti
Umno dan Pas mungkir janji dan 'cakap tak serupa bikin', Wacana Sinar
Harian bertarikh 5 September 2016, terakam sebagai suara kebenaran yang
maha berharga!
0 orang berkata:
Post a Comment