RoS serah sijil kelulusan pendaftaran kepada Bersatu
PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) hari ini menyerahkan
sijil kelulusan pendaftaran kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(Bersatu).
Presiden Penajanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menerima sijil
tersebut sebelum itu hadir bersama anggota jawatankuasa penaja Bersatu
ke RoS di sini bagi memberi penjelasan berhubung peranan dan fungsi
presiden serta pengerusi parti itu.
Muhyiddin berterima kasih kepada RoS dan Timbalan Perdana Menteri yang
juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana
memberi kelulusan pendaftaran untuk parti itu dalam tempoh 30 hari.
Muhyiddin sebelum ini menyerahkan permohonan bagi mendaftarkan parti itu pada 9 Ogos lalu.
Seorang pegawai RoS yang dihubungi Bernama menyatakan bahawa kelulusan
tersebut diberikan setelah pihaknya berpuas hati dengan penjelasan
daripada pihak PPBM berhubung peranan dan fungsi presiden serta
pengerusi parti itu.
Semalam, Ahmad Zahid berkata kelulusan rasmi akan diberikan selepas
pihak Bersatu memberi penjelasan berhubung peranan dan fungsi presiden
serta pengerusi parti itu kepada RoS.
[ARTIKEL BERKAITAN: RoS lulus secara prinsip permohonan PPBM]
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi
Bersatu yang ditemui media di RoS berkata beliau tidak menolak
kemungkinan untuk bekerjasama dengan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar
Ibrahim untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
Katanya usaha sedang dilaksanakan agar semua parti pembangkang
bergabung dalam satu pakatan supaya tidak akan ada pertandingan tiga
penjuru pada Pilihan Raya Umum nanti. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment