'Pemimpin Umno sekarang tak boleh buka mulut'
SEREMBAN - Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menggesa orang
ramai menyingkir Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan
Barisan Nasional (BN).
Katanya, Umno dan BN kini sudah menjadi 'parti Najib' dan bukannya parti untuk memperjuangkan rakyat.
"Pemimpin dan wakil rakyat Umno sekarang tak boleh buka mulut dan tak berani cakap benar.
"Sebab itu saya berpendapat singkir Najib sahaja tidak guna, kita kena singkir parti yang dia pimpin.
"Parti yang dia pimpin sekarang bukan parti yang ditubuh dahulu dengan
tujuan untuk agama, bangsa dan tanah air tetapi hari ini dengan tujuan
Najib kekal sebagai Perdana Menteri," katanya dalam ucapan Jelajah
Selamatkan Malaysia Bicara Rakyat Bersatu di Surau Hitam, Ampangan, di
sini, malam tadi.
Hadir sama, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, parti Bersatu akan memastikan Najib dan BN kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
"Kita kena singkir Umno dan Najib, biar dia belajar dan terus hanyut.
"Kita akan kalahkan Najib, jadi kita perlukan kekuatan. Kekuatan kita
ialah apabila ramai ahli Bersatu, kita akan tolak Najib dan BN masa PRU
nanti," katanya.
Mahathir turut meminta parti pembangkang termasuk Pas bekerjasama dengan Bersatu untuk mencapai matlamat itu.
Pada majlis itu, sebanyak 1,000 borang keahlian ahli baru parti Bersatu
di negeri ini diserahkan kepada Mahathir selepas berucap di hadapan
kira-kira 5,000 penyokong.
0 orang berkata:
Post a Comment