Ada kesan Mufti kata wajib sokong RUU 355
SHAH ALAM - Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli
Mohamad Al-Bakri yang mewajibkan ahli Parlimen beragama Islam menyokong
Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta Mahkamah Syariah (bidang
kuasa jenayah) pindaan 2016 bakal mempengaruhi persepsi rakyat.
Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat
berkata, sekiranya ahli Parlimen beragama Islam menolak untuk menyokong,
masyarakat Islam pastinya akan mengecam tindakan tersebut.
“Apabila mufti mengatakan wajib, setiap MP menolaknya nanti akan
menghadapi pandangan serong atau dikecam dalam kalangan orang Islam.
“Ini kerana pandangan seseorang mufti itu akan memberi pengaruh besar
kepada pemikiran masyarakat Islam,” katanya kepada Sinar Online. Zulkifli melalui siri Bayan Linnas: Isu Cadangan Pindaan Akta 355: Satu
Pendapat menyatakan ahli Parlimen beragama Islam wajib menyokong
manakala yang bukan Islam perlu menyokong memandangkan pindaan itu
membawa ke arah kebaikan.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi
(Ideas), Wan Saiful Wan Jan menyifatkan kenyataan Zulkifli sebagai satu
pandangan yang mendalam serta teliti yang tidak dipengaruhi emosi.
“Beliau mengatakan di peringkat awal lagi, kita kena cari adab
bersetuju untuk tidak bersetuju dalam hal yang berbeza pandangan.
“Jadi, saya rasa walaupun dia mengeluarkan pandangan RUU itu patut
disokong, saya yakin dia boleh terima bahawa ada orang yang mungkin
berbeza pandangan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan ada ahli Parlimen yang
akan mengambil kesempatan politik ketika tiba masanya nanti.
“Saya pasti akan ada yang petik pandangan mufti wilayah ini,. Macam
biasalah, mereka ini apabila nak ambil kesempatan politik ini, akan
petik tiga atau empat perenggan daripada berpuluh perenggan kenyataan
mufti ini.
“Saya yakin bahagian pertama akan dilupakan oleh ramai orang ialah
bahagian ‘tiada masalah bersetuju untuk tidak setuju’. Kita boleh
fahamlah apabila masing-masing nak mencari faedah politik untuk parti
masing-masing.
“Jadi, kematangan ilmiah dimiliki Mufti ini mungkin ambil masa untuk
sampai ke kepala ahli-ahli Parlimen dan pemikiran rakyat biasa,”
katanya.
Sementara Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej
Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara
Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, setiap ahli
Parlimen mempunyai hak untuk bersetuju atau tidak dengan mana-mana RUU
yang dibawa ke Parlimen.
“Dalam proses demokrasi, tiada sesiapa boleh mengarahkan kepada MP
untuk wajibkan, halal haram dan sebagainya. Hak MP masih lagi...untuk
bersetuju atau tidak bersetuju dengan RUU itu,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment