SPRM, DBKL tubuh Pasukan Petugas Khas
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menubuhkan sebuah Pasukan Petugas
Khas bagi meneliti secara khusus isu kelemahan sistem dan prosedur bagi
tujuan penambahbaikan dalam usaha memantapkan proses kerja pihak
berkuasa tempatan (PBT) tersebut.
SPRM dalam kenyataan hari ini berkata pasukan itu ditubuhkan bagi
menutup ruang dan peluang daripada berlakunya ketidakpatuhan dalam
pelaksanaan projek-projek di DBKL dengan meneliti punca-punca kelemahan
yang wujud dan memperakukan cadangan serta nasihat bagi mengambil
langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengatasinya.
Pasukan Petugas Khas yang diketuai Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam
Baki itu turut dianggotai pegawai-pegawai daripada Bahagian Pemeriksaan
dan Perundingan SPRM, Bahagian Siasatan SPRM dan Jabatan Integriti
DBKL.
"Pembentukan pasukan tersebut merupakan satu usahasama yang diambil
selepas beberapa pegawai kerajaan disiasat baru-baru ini atas kesalahan
salah guna kuasa dan penyelewengan.
"Sebagai permulaan, pasukan ini telah mengenal pasti lima isu berkaitan
amalan, sistem dan tatacara kerja yang melibatkan lima jabatan di
DBKL," jelas kenyataan itu.
Baru-baru ini, seorang kakitangan DBKL bergelar 'Datuk Seri' disiasat
SPRM bagi kesalahan rasuah manakala lebih 30 pegawai dan kakitangan DBKL
disyaki terlibat dalam salah guna kuasa melibatkan pembelian
kondominium dan pangsapuri di ibu negara.
Antara isu yang dikenal pasti ialah pengurusan projek perumahan
penswastaan, garis panduan pembelian hartanah oleh pegawai dan
kakitangan, pemilikan dan pengisytiharan harta, pengurusan Projek
Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) serta pemantauan
pembangunan tanah di ibu negara.
Menurut kenyataan itu, pasukan berkenaan bertanggungjawab merangka
beberapa cadangan kepada pihak DBKL untuk mengukuhkan lagi tatacara
kerja pegawai dan kakitangan serta sistem dan prosedur organisasi
tersebut.
SPRM berharap kerjasama antara dua pihak itu akan membuka ruang kepada
agensi-agensi lain untuk turut bekerjasama dengan SPRM bagi membendung
perbuatan salah guna kuasa dan penyelewengan sekaligus memperkukuhkan
lagi tatacara kerja dalam sektor awam. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment